Anda di sini:
SebelumSelepas

sambungan
Perkembangan Sejarah Awal Negeri Kedah
Berdasarkan Penemuan Bahan-Bahan Arkeologi

 

Penyelidikan arkeologi di Negeri Kedah boleh dibahagikan kepada dua bidang yang umum iaitu zaman prasejarah awal termasuk Lembah Bujang. Kepentingan penyelidikan arkeologi di Lembah Bujang sudah tidak asing lagi kepada kita, malah kemasyhurannya begitu meninggi sehingga menutupi kepentingan zaman-zaman prasejarah yang dilalui oleh penduduk-penduduk Negeri Kedah di zaman purba. Jadi, di dalam kertas kerja ini saya kira ada baiknya kalau disentuh terlebih dahulu zaman prasejarah di negeri ini dan kemudiannya membincang mengenai perkembangan sejarah awalnya berdasarkan kepada penemuan bahan-bahan arkeologi yang wujud setakat ini.

Penyelidikan arkeologi zaman prasejarah di Negeri Kedah agak terhad kepada tapak-tapak gua sahaja walaupun penemuan-penemuan secara tidak sengaja juga dijumpai di kawasan tanah lapang. H.D. Collings merupakan orang yang pertama menyingkap tentang kewujudan tapak prasejarah di Negeri Kedah dengan membuat kajian di Gunung Baling. Dua buah gua telah digalicari iaitu Gua Debu dan Gua Kelawar (Collings 1936). Bahan-bahan yang ditemui di gua ini terdiri dari kapak batu zaman Hoabinhian, kapak dan beliong batu zaman Neolitik, batu pengasah, batu penumbuk dan tembikar tanah. Siput-siput sungai merupakan tinggalan bahan makanan yang utama manakala tulang-tulang binatang dijumpai di dalam kuantiti yang sedikit sahaja.

Apa yang menarik mengenai kajian yang terdapatnya jumpaan tembikar (zaman Neolitik) di dalam lapisan tanah yang mengandungi artifek-artifek zaman Hoabinhian, dan menurut Collings (1936-:10) tidak ada tanda-tanda yang menunjukkan tanah tersebut pernah diganggu. Jadi berdasarkan ini, dua kemungkinan dapat dibuat mengenai hubungan Hoabinhian dan Neolitik, iaitu :

  • Dua masyarakat yang mengawal dua kebudayaan yang berbeza tetapi tinggal berdekatan dan saling berinteraksi di antara satu sama lain, atau

  • Satu masyarakat yang di dalam proses transisi dari zaman Hoabinhian ke zaman Neolitik, dan dengan itu sudah pasti melibatkan penggunaan alat yang lama dengan alat yang baru.

Collings telah memilih kemungkinan yang pertama


Salah sebuah tembika yang ditemui di tapak 17, Bukit Fendiat, Pengkalan Bujang, Lembah Bujang.

Di dalam masa yang sama, satu artifek yang diperbuat dari batu quartzite dan berbentuk seperti mata anak panah ataupun mata lembing yang kecil telah dijumpai di Sintok, (Callenfels 1936, Collings 1937). Alat tersebut dijumpai hasil dari aktiviti perlombongan bijih timah, dan dengan itu adalah sukar untuk dibuat sebarang kesimpulan yang konkrit mengenai alat tersebut. Walaubagaimanapun, penemuan ini adalah penting sekali di dalam pengkajian prasejarah di negara kita kerana setakat ini ianya merupakan satu-satunya contoh yang pernah dijumpai berhubung dengan penggunaan anak panah di zaman Neolitik di negara kita. Kita sedia maklum bahawa masyarakat Orang Asli dari suku kaum Negrito pernah menggunakan anak panah walaupun sekarang ini mereka lebih cenderung untuk menggunakan buluh sumpitan untuk memburu (Endicott 1979). Dengan adanya bukti dari Sintok ini besar kemungkinan bahawa masyarakat purba juga pernah menggunakan anak panah semasa memburu binatang. Untuk mendapatkan bukti-bukti yang lebih konkrit, penyelidikan yang lebih mendalam perlu dilaksanakan.

Sejurus selepas Perang Dunia Kedua, P.S.R. Williams-Hunt telah menjelajah ke utara Semenanjung Malaysia untuk menyiasat tapak-tapak prasejarah di kawasan tersebut. Salah satu tempat yang dilawatinya ialah Bukit Keplu, Kodiang di dalam daerah Kubang Pasu di mana beliau telah menemui tiga kapak batu zaman Neolitik dan berpuluh-puluh serpihan tembikar yang kebanyakannya berbentuk seperti kon dan ada di antaranya yang berlubang (Williams-Hunt 1952). Berdasarkan kepada bentuk tembikar yang agak unik ini, beliau m.b. merumuskannya sebagai,

'The exact function of these objects remains speculative ….. it can only be suggested that they have some ritual significance, possibly, in association with Buddhism' (Williams-Hunt 1952:182).

Pendapat demikan telah disangkal oleh Sieveking, dan berdasarkan kepada cara pembuatan dan bentuk hias beliau berpendapat tembikar tersebut telah dibuat oleh masyarakat zaman Neolitik (Sieveking 1956:194).

Kajian yang terperinci mengenai serpihan tembikar yang dijumpai di Kodiang itu telah dibuat oleh B.A.V. Peacock (1964). Minat untuk berbuat demikian timbul apabila penyelidikan yang dijalankan di Ban Kao, Thailand telah menghasilkan tembikar yang berkaki tiga (tripod) Sorensen 1972). Peacock telah berjaya mencantum semula serpihan-serpihan tembikar tersebut, dan hasilnya ialah sebuah tembikar berkaki tiga yang menyerupai jumpaan di Thailand. Sehingga kini, tembikar yang seperti yang tersebut juga telah dijumpai di Semenanjung Malaysia seperti di Dengkil, Selangor (Leong Sau Heng t.b.) dan Jeram Kawi, Tembeling, Pahang (Linehan 1928).

Walaupun agak sukar untuk menentukan kegunaan tembikar tersebut, apa yang lebih penting ialah ianya menunjukkan bukti terdapatnya perhubungan di antara tempat-tempat tersebut di satu ketika dahulu.

Berdasarkan kepada penyelidikan arkeologi prasejarah yang dijalankan di Negeri Kedah adalah sukar untuk kita membuat satu rumusan yang konkrit mengenainya. Di antara sebab-sebabnya ialah kebanyakan dari penyelidikan tersebut telah dijalankan dengan tidak menggunakan cara-cara yang sistematik, dan dengan itu keterangan dan bukti-bukti sampingan telah diabaikan. Justeru itu, ianya akan mencacatkan pengetahuan tapak-tapak yang diselidiki. Adalah sukar sekarang ini untuk dilaksanakan kajian di tapak-tapak tersebut kerana kebanyakan darinya telah pun musnah terutama tapak-tapak gua yang telah diganggu dan dihancurkan oleh pencari tahi kelawar untuk dijadikan baja bendang dan tanaman. Di samping itu, adalah sukar untuk kita mengesan tapak-tapak arkeologi di kawasan lapang kerana kebanyakan tanah di Negeri Kedah telah digunakan untuk tanaman padi, dengan itu ianya sering ditakungi air, atau setidak-tidaknya tanah tersebut telah diganggu semasa aktiviti membajak.

Walaubagaimanapun, bukti-bukti yang ada jelas menunjukkan terdapat satu turutan yang panjang bermula dari zaman Hoabinhian ke zaman Neolitik. Tidak terdapat tarikh-tarikh yang tepat tentang bila zaman-zaman tersebut bermula, dengan terjumpanya kapak-kapak batu Neolitik di tapak-tapak Hindu/Buddha di Permatang Pasir (Sullivan 1958 pl 17) dan Gua Kepah, Seberang Perai (Quaritch-Wales dan Quaritch -Wales 1947) jelas menunjukkan bahawa masyarakat di Kedah masih menggunakan alat-alat batu di masa kedatangan pedagang India di pantai negeri tersebut kira-kira kurun ke 4 atau 5 masihi ataupun lewat dari itu.

 
  
TUTUP TETINGKAP
Hakcipta Terpelihara © 2002 Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah