Anda di sini:
 

Sebelum

sambungan
Perkembangan Sejarah Awal Negeri Kedah Berdasarkan Penemuan Bahan-Bahan Arkeologi

 
 

Sejarah Lembah Bujang Berdasarkan Penemuan Arkeologi


Salah satu lagi tapak candi di Bendang dalam Lembah Bujang.


Tapak Candi Site 11 di Lembah Bujang, Merbok.

Berdasarkan kepada penyelidikan arkeologi yang telah dibuat sejak satu abad yang lalu, beberapa kesimpulan boleh dibuat mengenai sejarah Lembah Bujang. Wales (1940) telah mengemukakan hipotesis mengenai arus perkembangan tahap-tahap penjajahan dari India ke rantau ini. Beliau telah membuat empat tahap perkembangan tersebut, iaitu :

  1. Arus pertama merangkumi jangkamasa di antara kurun pertama hingga kurun ketiga berdasarkan kepada manik yang dipercayai dari Rom dan juga berdasarkan kepada beberapa serpihan tembikar yang dijumpai di Johor lama. Tidak banyak bukti dijumpai di Lembah Bujang.

  2. Arus kedua bermula kira-kira 300 Masehi hingga 550 Masehi berdasarkan kepada batu-batu bertulis dan tapak-tapak 1 hingga 3, dan merupakan tahap yang pertama untuk Lembah Bujang. Masyarakat adalah beragama Hindu dan kerajaan di bawah pengaruh Funan. Terdapat tapak-tapak lain di Lembah Kinta.

  3. Arus ketiga menunjukkan terdapat perubahan kebudayaan yang berlaku di antara tahun 550 hingga 750 Masehi, dan Kedah adalah di bawah penjajahan Hindu Pallava, dan pengaruh ini mula menjalar ke pantai timur semenanjung. Ianya dilambang oleh tapak-tapak 4 hingga 9 di Lembah Bujang yang dianggap sebagai kuil Siva.

  4. Arus keempat di antara 750 hingga 900 Masehi menunjukkan kewujudan kepercayaan Buddhisma dari Selatan India yang mempunyai unsur-unsur Pala Mahayana.

Konsep yang dikemukakan oleh Quaritch-Wales di atas telah dikatakan sebagai tidak berasaskan kepada bukti-bukti arkeologi yang sebenar. Kajian yang dijalankan oleh Lamb mengenai candi Bukit Batu Pahat jelas menunjukkan persamaan dengan tapak-tapak Hindu di Indonesia terutamanya Biarosi Topajan di Padang Lawas, Sumatra (Lamb 1961 : 1-9). Selain dari itu Lamb juga membuktikan bahawa cepu batu yang ditemui tertanam di bawah Candi Bukit Batu Pahat juga menampakkan ciri-ciri asia Tenggara iaitu ianya melibatkan aktiviti pemujaan jenis tantrik dan bukannya amalan Hindu mazhab Siva seperti yang disarankan oleh Quaritch-Wales.

Selain dari Wales, Wheatley juga tidak ketinggalan mengemukakan periodisasinya berhubung dengan perkembangan sejarah yang dilalui oleh Lembah Bujang (Wheatley 1961 : 275 - 278). Menurut beliau sejarah Kedah bermula ketika Gunung Jerai, Bukit Penjara dan Bukit Batu Lintang masih lagi merupakan pulau di mana pedagang dari India mempunyai kontek dengan masyarakat tempatan. Kira-kira kurun kelima masehi Buddhisma sudah menapak di Lembah Bujang. Kini hubungan dengan India sudah terjalin erat, tetapi tiga kurun kemudian, Buddhisma telah diresapi oleh unsur-unsur Saivisma di Kedah, dan penempatan tertumpu di kawasan tengah Sungai Bujang.

Bentuk-bentuk candi yang menghala ke timur menunjukkan amaan linga di kalangan masyarakat Hindu di Kedah. Di antara kurun kelapan dan kesembilan, unsur-unsur Mahayana kembali menapak di Kedah. Pedagang Arab dan China telah mengambil bahagian di dalam perdagangan di rantau ini pada ketika ini. Di abad kesepuluh, masyarakat di Lembah Bujang kembali Hindu, dan kawasan penempatan yang baharu dibuka di Sungai Muda. Menurut Wheatley, Kedah lumpuh selepas serangan yang dilancar oleh Raja Chola, Rajendra 1 dalam tahun 1025-1030 dengan menyatakan
"Precisely when this deline set in difficult to say but it well date from the great raid of Rajendra 1, when Kedah, as one of the twin foci of the empire, was selected as a major abjective. Srivijaya apparently recovered from this reserved after a few years but Kedah seems never to have recaptured its lost prestige" (Wheatley 1961-281).

Dengan berasaskan kepada penemuan arkeologi, Lamb telah mengemukakan alternatif yang lebih konkrit dan munasabah. Lamb telah membahagikan pendudukan di Kedah kepada empat peringkat juga iaitu :dhisma

  1. Phasa Buddhisma yang awal dibuktikan oleh tiga inskripsi yang dijumpai oleh Low dan Quaritch-Wales yang mempunyai kaedah ye dharma yang dikatakan dibuat atas arahan Buddhagupta bagi menjamin keselamatan pelayaran. Ketiga-tiga inskripsi ini mempunyai teks yang sama dan diberi tarikh keempat atau kelima Masehi.

  2. Phasa Srivijaya yang dibuktikan oleh penemuan seperti archa gangsa yang serupa dengan yang dijumpai di Sambas, Kalimantan, Indonesia termasuk juga tapak 16 dan 16a. Penumpuan aktiviti perdagangan di Takuapa, Thailand masih mengamalkan Buddhisma Mahayana, kadang-kadang mempunyai unsur tantrik, termasuk juga penempatan di Perak yang mempunyai kepercayaan yang serupa. Telah diberi tarikh di antara kurun ketujuh dan kesembilan.

  3. Phasa Pengkalan Bujang yang tidak mungkin wujud lebih awal dari kurun kesebelas Masehi, dan melambangkan kejatuhan pusat perdagangan di Takuapa. Phasa ini memperlihatkan perkembangan Lembah Bujang dan juga pertumbuhan kawasan penempatan di sekitar Sungai Bujang dan Merbok, Batu Lintang dan Tikam Batu. Kemerosotan perdagangan di Lembah Bujang tidak lewat dari kurun keempat belas kerana tidak terdapat penemuan seramik jenis biru dan putih. Penemuan-penemuan yang digolongkan di Phasa ini menolak pendapat Wheatley mengenai tarikh kejatuhan Lembah Bujang kerana menurut Lamb, Lembah Bujang mula meningkat setelah serangan yang dilancarkan oleh Raja Chola. Phasa ini juga menampakkan peranannya sebagai pusat yang menghubungkan kawasan pedalaman dengan dunia luar.

  4. Phasa Kuala Muda berkembang setelah Lembah Bujang mencapai kemuncaknya dan dicirikan oleh seramik jenis Ming biru dan putih. Pada ketika ini adalah dipercayai bahawa Sungai Muda sudah mengubah haluan, dan perkara ini pernah juga dicatat di dalam Hikayat Merong Mahawangsa.

Di antara ketiga-tiga pendapat yang tersebut di atas, kita dapati pendapat yang disarankan oleh Lamb adalah lebih munasabah kerana ianya berdasarkan kepada bukti arkeologi yang nyata, walaupun kadang-kala bercanggah dengan fakta sejarah seperti yang terdapat di dalam penulisan kronikel China dan karya-karya India yang dinyatakan di atas tadi.

Persoalan yang sering dikemukakan mengenai Lembah Bujang ialah mengenai tarikh kawasan tersebut sudah tidak begitu masyhur lagi. Menurut Lamb kemerosotan Lembah Bujang adalah disebabkan oleh perubahan-perubahan yang berlaku kepada sistem sungai di Lembah Bujang dan juga disebabkan oleh kerana Sungai Bujang dan Sungai Merbok sudah kurang dalam dan jauh di pedalaman. Lagi pula pedagang-pedagang mula menjelajah dan mengeksploitasi kawasan-kawasan yang terletak di selatan Semenanjung seperti Melaka dan Singapura. Bukti yang jelas tentang berakhirnya Lembah Bujang ialah makam Sultan Muzaffar Shah yang telah memeluk Agama Islam pada kira-kira tahun 1474 (Winstedt 1920:30).

Penemuan Arkeologi di Luar Lembah Bujang

Tidak terdapat satu penyelidikan yang dirancang telah dibuat di Negeri Kedah. Walaubagaimanapun, ini tidak bermakna bahawa aspek sejarah awal selain dari Lembah Bujang adalah tidak penting. Kita mungkin sedar tentang pemerintahan di Kampung Siputeh di mana tersebut alkisah Puteri Lindungan Bulan yang amat menarik parasnya yang menjadi rebutan dan perbalahan. Bukti yang dapat dilihat hingga kini hanyalah batu nisannya yang mempunyai unsur-unsur batu nisan Acheh. Walaubagaimanapun di dalam tahun 1957 ditemui satu khazanah yang mengandungi dua puluh tiga buah seramik, alat kaca, wang syiling dan tembikar tanah. Memandang kepada kuantiti bahan yang diperolehi maka besar kemungkinan bahan yang serupa itu akan ditemui kelak. Berdasarkan kepada seramik yang ditemui, khazanah yang dijumpai di Kampung Siputeh itu tarikh yang diberi ialah akhir kurun keenam belas atau awal kurun ketujuh belas Masehi.

Penutup

Selain dari kajian-kajian yang telah dijalankan di Lembah Bujang dan tapak-tapak arkeologi prasejarah, tidak terdapat sebarang penyelidikan yang dibuat untuk tapak-tapak lain. Antara sebab yang utama ialah kekurangan tenaga yang berkelayakan di negara kita yang membolehkan penyelidikan tapak-tapak sejarah diselidiki secara eskavasi bagi mendapatkan maklumat yang mungkin tidak terdapat di dalam penulisan sejarah tempatan. Masalah kedua ialah menentukan tapak sebenar sesuatu penempatan. Masalah ini akan lebih ketara apabila kita menyelidik tapak-tapak di kawasan lapang. Oleh kerana Negeri Kedah merupakan jelapang padi negara, banyak kawasan dijadikan bendang dan kawasan tersebut biasanya ditenggelami air. Ini sudah tentu menyusahkan kerja-kerja penyelidikan awal hendak dilaksanakan.

Sebagai kesimpulan, kita dapati sejarah awal Negeri Kedah bermula pada kira-kira kurun keempat atau kelima Masehi di Lembah Bujang. Kawasan ini berkembang dengan pesatnya, mencapai kemuncaknya pada kurun keempat belas, dan selepas itu pusat perdagangan berpindah ke kawasan Sungai Muda. Pada masa itu, masyarakat Melayu masih lagi menganuti agama Hindu atau Buddha, sehinggalah tahun 1474 bilamana Raja dan seterusnya rakyat negeri memulakan penghidupan baru sebagai umat Islam.

 
   
TUTUP TETINGKAP
Hakcipta Terpelihara © 2002 Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah