Cari maklumat mykedah: 
 
    Anda di sini: 
Selepas

Lembah Bujang : Penyelidikan Arkeologi Sungai Mas, Kuala Muda, Kedah Darul Aman

oleh: Kamaruddin b. Zakaria

Abstrak


Candi di Lembah Bujang, Merbok, Kedah.

Tamadun di selatan Kedah atau di Lembah Bujang (Serpent Valley ) di awal abad Masihi hingga 20 Masihi mempunyai perhubungan yang sangat intim dengan aktiviti perdagangan maritim di antara beberapa negara di Asia, China, Asia Barat dan India. Perkembangan pelabuhan entrepotnya sering dikaitkan dengan kerajaan Thalassocracy Srivijaya. Penemuan tapak tanah bersejarah dengan beratus ribu pecahan seramik, kaca dan manik sama ada dari China, Asia Barat, India atau tempatan, runtuhan candi pengabdian terhadap Buddha atau Hindu, struktur bandar atau pelabuhan yang tenggelam, artifak budaya seperti patung-patung atau arca, batu bersurat dan peralatan yang berkaitan dengan kehidupan masyarakat telah menobatkan gugusan ini sebagai tempat terasasnya negara pesisiran Kedah purba.

Sungai Mas dan koridor Sungai Muda merupakan tapak tanah sejarah yang merentasi zaman prasejarah kebudayaan Hoabinhian, protosejarah dan sejarah. Walaupun penyelidikannya telah menjangkau seratus lima puluh tahun, tetapi usaha membongkar, menyingkap dan merekonstruksi sejarah, peranan dan perkembangannya masih menjadi perdebatan dan belum menemui titik pertemuan. Status dan potensinya yang diperakui oleh peserta projek Intra-ASEAN : Ekskavasi Arkeologi dan Konservasi Lembah Bujang, Kedah 1985, serta diperakui di dalam Malaysian Book of Records kerana memiliki berpuluh ribu manik purba dan salah satu lokasi pembuat manik di kawasan Indo-Pasifik menjadikan ia tapak yang komprehensif. Pelabuhan yang sangat diperlukan dan memiliki laluan transpeninsular yang menghubungkan Kedah Purba - Langkasuka (Patani) meletakkan ia sebagai bandar pelabuhan yang terbilang.

Penyelidikan Arkeologi Sungai Mas, Kedah

Mukadimah

Sebahagian daripada susunan blok laterit dan batu-bata benteng penahan ombak yang panjang dan lebarnya belum diketahui.  

Kampung Sungai Mas terletak di Mukim Kota, Daerah Kuala Muda, Kedah Darul Aman, merupakan komponen tapak tanah bersejarah zaman proto yang terkini dan tersohor di dalam zon penyelidikan arkeologi Lembah Bujang. Keluasan kawasannya yang menjangkau 102.59 hektar (253.5 ekar). Keluasan merangkumi tanah kampung 74.06 hektar, bendang 22.66 hektar, nipah 3.04 hektar, makam purba DiRaja 0.41 hektar, perkuburan Cina 1.62 hektar dan perkuburan Islam 0.20 hektar. Kawasan ini berjiran dengan beberapa buah kampung seperti Kampung Alor Nibung, Permatang Janggus, Kubang Jambu, Pinang, Sungai Terus, Baru dan Pekan Kota Kuala Muda. Mukim Kota juga dikelilingi oleh Mukim Haji Kudong, Kuala, Bukit Meriam, Rantau Panjang dan di selatannya bersempadan dengan Seberang Prai Utara, Pulau Pinang yang dipisahkan oleh Sungai Muda. Mukim dan kampung ini juga merupakan kawasan yang kaya dengan tapak tanah bersejarah.

Lokasi tanah daratannya yang dilingkari oleh Sungai Muda, Sungai Terus, Sungai Merbok dan Selat Melaka menjadikan ia sebagai sebuah pulau. Jaraknya dari Pantai Merdeka ialah 10 kilometer, 20 kilometer dari Bandar Sungai Petani. 30 kilometer dari Butterworth, Pulau Pinang, 35 kilometer dari Gunung Jerai dan 3.0 kilometer dari Selat Melaka meletakkan ia sebagai daerah yang strategik dalam pelbagai aspek.









mykedah.com
dihasilkan oleh:

PERBADANAN
PERPUSTAKAAN
AWAM KEDAH
Kedah State Public
Library Corporation
Dibiayai oleh :
Demonstrator Applications Grant Scheme (DAGS) of the National IT Council (NITC) Malaysia


Disokong oleh:
Kerajaan Negeri
Kedah Darul Aman
KEPERLUAN
Shockwave Flash™ untuk memaparkan animasi dan peta Klik

DAN Real Player untuk memaparkan klip video dan audio. Klik untuk download dan install sekarang!
Paparan terbaik dengan Internet Explorer 5.0 dengan resolusi 800x600.
   
  Hakcipta Terpelihara © 2002 Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah.
Go!