Anda di sini:
 
SebelumSelepas

sambungan
Lembah Bujang : Penyelidikan Arkeologi Sungai Mas, Kuala Muda, Kedah Darul Aman

 
 

Sejarah Penyelidikan

Penjelajahan tapak tanah bersejarah di koridor Sungai Muda pada awalnya lebih merupakan aktiviti purbawan yang dilakukan oleh pegawai-pegawai kolonial sejak 1830-an. Dalam tahun 1849 Leftenan Kolonel James Low, Superintendent Province Wellesley, Prince of Wales Island telah melaporkan penemuan struktur batu-bata di Srokam dan Sungai Mas. Sungai Mas dikatakan mengalir ke Sungai Muda. Walaubagaimanapun, sehingga tahun 1974 tidak terdapat sebarang maklumat susulan berkaitan Sungai Mas. Penyelidikan yang dilaksanakan oleh G.W. Earl. P.V. van Stein Callenfels, I. H. N. Evan, Wales H.G. Quaritch, Wales D.C. Quaritch, Michael Sullivan, R. Braddel, B.A.V. Peacock, Persatuan Arkeologi Universiti Malaya, Foong See Tonn, Wang Gungwu, K.S.Tregoning, J. Stargardt dan Leong Sau Heng tidak pernah membicarakan Sungai Mas. Lokasi tapak tanah bersejarah ini muncul semula di peta taburan tapak kajipurba Lembah Bujang pada tahun 1974, oleh Al Rashid Ibrahim dari Muzium Negara yang memainkan peranan utama di dalam projek khas menerusi National Archaeological Survey And Research Unit (NASRU). Akan tetapi, tiada sebarang laporan bertulis sebagai sumber rujukan. Situasi berterusan sehingga 1980 ini kerana Adi Taha dari Jabatan Muzium dan Nik Hassan Suhaimi Abdul Rahman dari Universiti Kebangsaan Malaysia menumpukan aktiviti ekskavasi di Candi Pengkalan Bujang (tapak 21 & 22), Candi Bukit Pendiat (tapak 17), Candi Bendang Dalam (tapak 50) dan Gua Bukit Penjara, Pantai Merdeka.

Kegemilangan Sungai Mas sebagai tapak bersejarah zaman proto-sejarah bermula dalam tahun 1979 apabila Jane Allen, Jan Wisseman Christei dari Amerika Syarikat dengan kerjasama dari Muzium Arkeologi Lembah Bujang dan Jabatan Geografi, Universiti Malaya menjalankan penyelidikan berkaitan "Trade transportation and tributaries: exchange, agriculture and settlement distribution in early historic-period Kedah, Malaysia". Beliau telah melaporkan sebanyak 12 buah tapak bersama jumpaan artifak yang terdiri dari bahan binaan, seramik asing, tembikar tanah, kaca, manik dan batu bersurat di kawasan Kampong Sungai Mas.

Penemuan batu bersurat Buddhagupta dan terbongkarnya berpuluh ribu artifak akibat projek pembinaan tali air telah menarik perhatian pelbagai pihak. Justeru, mulai tahun 1980 satu usaha bersama dibentuk di antara Muzium Arkeologi Lembah Bujang, Merbok, Kedah yang diketuai oleh Kamaruddin Zakaria dan Nik Hassan Suhaimi Nik Abdul Rahman dari Jabatan Sejarah, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor untuk menjalankan kajiselidik. Peringkat awalnya aktiviti ini agak terbatas kerana pada waktu yang sama, projek ekskavasi di Candi Bendang Dalam (tapak 50) dan Candi Matang Pasir (tapak 31) sedang dilaksanakan. Walaubagaimanapun, dalam tahun 1981 Nik Hassan Suhaimi Nik Abdul Rahman telah menjalankan ekskavasi percubaan yang pertama di kawasan tanah lot 567 (tapak 33) dengan misi penyelidikan berkaitan "Art, archaeology and the early kingdoms in the Malay Peninsular and Sumatera: 400-1400 A.D.". Dalam tahun yang sama, Leong Sau Heng dari Jabatan Sejarah, Universiti Malaya, Kuala Lumpur telah menjalankan ekskavasi di kawasan yang sama, akan tetapi hanya untuk latihan amali pelajar arkeologi. Dalam tahun 1984, pasukan arkeologi dari Muzium Arkeologi Lembah Bujang, yang diketuai oleh Kamaruddin Zakaria telah menjalankan ekskavasi selektif untuk mengenal pasti potensi tapak tersebut. Dalam waktu yang sama penyelidikan dan ekskavasi selektif Candi Bukit Choras (Tapak 1), Mukim Sala, Daerah Yan dijalankan untuk mengkaji perbandingan di antara batu bersurat tapak tersebut dengan Sungai Mas.

Pendedahan terhadap kepentingan arkeologi menerusi media di dalam dan luar negara serta penemuan pelbagai data merupakan faktor pemilihan Sungai Mas di dalam projek "2nd Intra-ASEAN Archaeological Excavation And Conservation Bujang Valley, Kedah, Malaysia", yang berlangsung dari 4 -27 Oktober, 1985. Projek ini telah disertai oleh pakar-pakar dari Brunei Darussalam, Filipina, Malaysia, Singapura, Thailand dan Indonesia. Projek ini telah mengukuhkan lagi bukti-bukti penting yang memerlukan pelan tindakan yang komprehensif. Di antara gagasan yang diutarakan ialah tapak tanah bersejarah Sungai Mas merupakan bandar pelabuhan Kedah purba awal yang perlu diselidiki secara intensif kerana ia bukan sahaja akan menyingkap dan membongkar perkembangan tamadun zaman pra-Islam di Malaysia, tetapi juga di seluruh Asia Tenggara.

Perkembangan penyelidikan selepas tahun 1985 kurang aktif kerana masalah peruntukan kewangan, akan tetapi beberapa siri eksplorasi masih diteruskan oleh ahli-ahli arkeologi, khususnya dari Muzium Arkeologi Lembah Bujang, Merbok, Kedah. Keutamaan difokuskan kepada koridor Sungai Muda, Sungai Simpor, Sungai Terus dan Sungai Merbok. Operasi ini meliputi juga beberapa buah pulau di Selat Melaka iaitu Pulau Sayak, Bidan, Telor, Songsong, Bunting dan Tukun Terendak. Usaha ini mengesahkan Kampong Sireh dan Simpor Tambang sebagai pelabuhan sampingan selain daripada Sungai Mas sebagai pelabuhan pesisiran pantai. Taburan runtuhan struktur binaan di Seberang Prai Utara, Pulau Pinang seperti di Guar Kepah, Kota Aur dan Rantau Panjang serta artifak pecahan seramik di pulau-pulau tersebut adalah merupakan data-data yang bernilai tinggi. Dalam jangka waktu yang sama dari tahun 1986 hingga 1991, Muzium Arkeologi Lembah Bujang dengan kerjasama pensyarah dan pelajar dari Jabatan Sejarah, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor telah menjalankan projek ekskavasi di Kompleks Percandian Pengkalan Bujang, Mukim Bujang, khususnya di tapak 23. Di kompleks ini terdapat enam buah candi di dalam kawasan seluas 3.5 hektar. Ekskavasi dilaksanakan untuk mendapatkan data berkaitan kepadatan dan kepelbagaian artifak untuk kajian perbandingan dengan Sungai Mas.

Dalam tahun 1990 -1991 telah dilancarkan projek kajiselidik bersama di antara Jabatan Muzium yang diketuai oleh Kamaruddin Zakaria dari Muzium Arkeologi Lembah Bujang, Merbok, Kedah, Dr. Nik Hassan Suhaimi Nik Abdul Rahman dari Ikatan Ahli Arkeologi Malaysia dan Dr. Michel Jacq-Hergoualc'h dari Centre National de la Recherche Scientifque, Paris dan Pusat Penyelidikan Timur Jauh Perancis di Malaysia. Pengumpulan data ini telah mengukuhkan lagi terhadap kepentingan Sungai Mas dalam konteks penyelidikan arkeologi proto-sejarah.

Perkembangan yang menarik ialah Sungai Mas terlepas pandang di dalam aktiviti penyelidikan sama ada di zaman kolonial atau selepasnya. Malahan ketika Quarith Wales dan isterinya Dorothy Wales memberi perhatian terhadap ekplorasi dan ekskavasi secara selektif dan ad-hoc di 30 buah lokasi, Sungai Mas terlepas dari sasaran tersebut. Penyelidikan yang dilaksanakan di kawasan berhampirannya mengukuhkan lagi bukti peranannya sebagai pelabuhan entrepot purba, kerana tapak tersebut merupakan komponen Sungai Mas. Di antara tapak-tapak tersebut ialah Candi Bukit Penjara, Candi Bukit Meriam tempat dijumpai Inskripsi Buddhagupta, Candi Bukit Batu Lintang berhampirannya dijumpai patung Dvarapala yang dibuat dari batu granit. Ketiga-tiga bukit ini juga mungkin berfungsi sebagai pos pemerhati atau pengawal terhadap aktiviti di "Teluk Merbok" dan juga di Selat Melaka. Manakala di Sungai Terus dijumpai tali pinggang emas berukir dengan lambang Kala atau Simha Mukha yang beratnya 13.574 kilogram. Dua inskripsi atau batu bersurat Buddhagupta yang menggunakan tulisan Pallava dan bahasa Sanskrit dijumpai di Guar Kepah dan Ceruk Tokun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang merupakan di antara sumber yang penting di dalam penyelidikan ini. Beberapa buah tapak lain yang mempunyai hubungan ialah Candi Matang Pasir, Candi Tikam Batu dan taburan tapak di pesisiran Sungai Muda, termasuk sebuah pelabuhan terpencil iaitu Srokam di Pinang Tunggal.

 
   
TUTUP TETINGKAP
Hakcipta Terpelihara © 2002 Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah