Cari maklumat mykedah: 
 
    Anda di sini: 
Selepas

Penyelidikan Awal Istana Pulau Tiga, Kedah Darul Aman

oleh: Kamaruddin b. Zakaria


Kedah yang nama purbanya dikenali sebagai Kataha, Katahanagara, Chieh-cha, Qalha, Kalah, Kalagam dan Kadaram merupakan di antara negeri di Semenanjung Malaysia yang kaya dengan tapak tanah bersejarah daripada zaman pra-sejarah hinggalah ke zaman sejarah. Di antara daerah yang paling terkenal ialah daerah Kuala Muda, sama ada di peringkat nasional atau pun antarabangsa, dengan tapak tanah bersejarah proto Lembah Bujang. Penyelidikan arkeologi yang dilaksanakan sejak tahun 1845 telah merumuskan bahawa sisa-sisa runtuhan bangunan yang terdiri daripada candi dan bandar pelabuhan merupakan bukti arkeologi terhadap kewujudan kerajaan Melayu pra-Islam di antara abad ke 5 - 14 Masihi.

Ahli Arkeologi sedang memeriksa, mengukur dan merekodkan data runtuhan Tembok Istana Pulau Tiga di sebelah utara.  

Di samping itu, daerah ini terutama di tanah daratan di antara Sungai Merbok dan Sungai Muda merupakan kawasan yang tersohor dengan monumen-monumen yang dikaitkan dengan pusat-pusat pemerintahan raja Melayu Kedah purba. Beberapa buah mukim utama seperti Mukim Bukit Meriam, Haji Kudong, Kuala, Kota, Simpor, Rantau Panjang, Pekala, Sungai Pasir dan Sungai Petani telah menjadi pilihan utama dalam konteks sistem pemerintahan, pentadbiran, perdagangan, perebutan kuasa, peperangan sehingga tahun 1915 apabila pusat pentadbiran dipindahkan dari Kota Kuala Muda ke Sungai Petani, Kedah. Pusat-pusat pemerintahan ini telah dibicarakan di dalam Hikayat Merong Mahawangsa, Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah dan beberapa tulisan lain atau sejarah lisan termasuklah beberapa filem dokumentari yang memerlukan penelitian intensif. Di antaranya ialah Penjara Raja Bersiong di Bukit Penjara, Istana Bukit Meriam, Istana Kota Sungai Emas, Kota Kuala Muda, Kota Arong-Arongan, Kota Aur, Istana Lubuk Pusing dan Istana Pulau Tiga. Walaubagaimanapun, sisa-sisa runtuhan Istana Pulau Tiga telah menarik perhatian beberapa pihak, terutama oleh ahli arkeologi dan pengkaji sejarah Kesultanan Melayu Kedah.

Istana Pulau Tiga terletak di Kampong Baru, Pulau Tiga, Mukim Sungai Petani, Daerah Kuala Muda, Kedah. Kedudukannya 5 kilometer di utara Bandar Sungai Petani dan 18 kilometer dari Selat Melaka melalui Sungai Merbok. Istana ini dibina di atas sebidang tanah dengan keluasan 0.61201 hektar dan terletak di tebing kiri Sungai Merbok dan Sungai Tukang. Ia dikenali sebagai Istana Pulau Tiga kerana di hadapannya terdapat tiga buah pulau yang dinamakan Pulau Tok Kuning, Pulau Tengah dan sebuah lagi tidak bernama.

  Ahli Arkeologi Sungai Mas, Kedah sedang bersiap untuk mengeksplorasi Pulau Tiga dan menghilirkan Sungai Merbok, Sungai Terus, Sungai Muda dan Selat Melaka.

Istana ini telah dibina oleh Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah, Sultan Kedah yang ke-21 (1804 - 1845). Baginda ialah Tunku Pengeran, anak kepada Sultan Abdullah Mukarram Shah dan Wan Mas. Baginda telah menaiki takhta dalam tahun 1804 dengan gelaran Siam, Chou Pia Ratismeram Ramapuck Dae Sri Sultan Mohamed Ratna Rajah Budin Tersurin Terwerei Wangsa Chou Pia Cherei Burei dan gelaran Marhum Melaka sesudah mangkatnya. Baginda telah memindahkan pemerintahannya dari Kota Kuala Kedah ke Kota Kuala Muda dalam tahun 1804 - 1820. Dalam awal tahun 1820, baginda membina Istana Pulau Tiga untuk menghadapi ancaman Siam. Dalam bulan April 1821, tujuh bulan sebelum tentera Siam menjajah Kedah, seorang mubaligh Kristian iaitu Thomas Beighton dan rakannya John yang bertugas di Pulau Pinang telah mengadap baginda dan mencatatkan:

"Pulau Tiga kemungkinan akan muncul sebagai sebuah pusat bandar pentadbiran yang indah jika segala hutan di situ dibersihkan. Sungai Merbok amat lebar dan di tengahnya muncul tiga buah pulau yang berdekatan. Di atas pulau yang lebih besar itulah Sultan mendirikan istana terapung yang dibina daripada kayu dan atap.

" Lantainya dihiasi dengan permaidani indah. Baginda kelihatan amat pemurah dan peramah. Pelbagai soalan yang diajukan termasuk hal-hal kejadian alam. Baginda diapit oleh seorang tua berusia 80 tahun, lengkap dengan para pembesar dan pegawai-pegawai perang... "
.









mykedah.com
dihasilkan oleh:

PERBADANAN
PERPUSTAKAAN
AWAM KEDAH
Kedah State Public
Library Corporation
Dibiayai oleh :
Demonstrator Applications Grant Scheme (DAGS) of the National IT Council (NITC) Malaysia


Disokong oleh:
Kerajaan Negeri
Kedah Darul Aman
KEPERLUAN
Shockwave Flash™ untuk memaparkan animasi dan peta Klik

DAN Real Player untuk memaparkan klip video dan audio. Klik untuk download dan install sekarang!
Paparan terbaik dengan Internet Explorer 5.0 dengan resolusi 800x600.
   
  Hakcipta Terpelihara © 2002 Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah.
Go!