Cari maklumat mykedah: 
 
    Anda di sini: 
Selepas

Cerita Terung Pipit Tinjauan Dari Sudut Sastera, Budaya Dan Sejarah

oleh: Dato' Hj. Wan Shamsudin bin Mohd. Yusof

1.0 Pendahuluan

Cerita-cerita Terung Pipit (CRT) dapat dianggap satu-satunya hikayat tertua di utara Semenanjung, khususnya Kedah dan Perlis, dan merupakan bahan terawal cerita lisan yang dikaji oleh para sarjana Barat pada peringkat awalnya sekitar 1920-an. Cuma sebuah cerita sahaja yang dikumpul dan dibukukan berjodol Hikayat Terung Pipit (1). Sebelum diterbitkan dalam bentuk buku, ianya pernah disebarkan secara meluas sebelum Perang Dunia Kedua melalui wayang kulit Melayu dan tukang-tukang cerita. Di Kedah mereka dikenali sebagai Selampit/Tuk Selampit yang juga menjadi watak utama dalam CTP.

Sejak 1960-an kajian terhadap cerita-cerita lisan di negeri ini telah diteruskan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka yang berhasil menemui dua lagi versi CTP. Bagaimanapun tidak pula dapat dinafikan bahawa masih ada lagi CTP yang terlepas dari penyelidikan dan hilang begitu sahaja. Misalnya dalam Akhbar NUN yang diterbitkan di Yan, Kedah sebelum perang dahulu pernah menyiarkan beberapa siri cerita Panglima Selampit bertajuk Hikayat Kijang Bertempik. Cerita itu ditutur oleh Lebai Sudin yang diterima dari bapanya Panglima Ngah, dan Panglima Ngah mendapat cerita itu dari bapanya Pak Lah, berasal dari Bukit Pinang, bekerja sebagai penunggu pintu gerbang raja zaman Tunku Da'I (2).

CTP yang tergolong sebagai cerita-cerita Penglipurlara mempunyai persamaan dengan hikayat-hikayat lain yang sejenis yang pernah dikaji oleh W. L. Maxwell dan R. O. Winstedt seperti Hikayat Malim Demam, Hikayat Anggun Cik Tunggal, Hikayat Raja Muda, Hikayat Awang Sulung Merah Muda dan sebagainya hasil tuturan Mir Hasan dan Pawang Ana. Bagaimanapun jika diteliti lebih lanjut ternyata CTP memiliki keistimewaan tersendiri terutamanya dari sudut bahasa dan budaya masyarakat Kedah Darulaman di zaman silam. Ramai masyarakat Melayu di utara yang pernah membaca atau mendengar CTP mempercayai cerita itu ada kaitannya dengan sejarah Kedah kerana latar tempat berlakunya cerita itu dan juga nama-nama meriam yang digunakan seperti Katak Puru, Harung Darah, Badak Berendam dan sebagainya dalam CTP masih dihafalkan namanya malah dikatakan masih dapat dilihat hingga ke hari ini.








mykedah.com
dihasilkan oleh:

PERBADANAN
PERPUSTAKAAN
AWAM KEDAH
Kedah State Public
Library Corporation
Dibiayai oleh :
Demonstrator Applications Grant Scheme (DAGS) of the National IT Council (NITC) Malaysia


Disokong oleh:
Kerajaan Negeri
Kedah Darul Aman
KEPERLUAN
Shockwave Flash™ untuk memaparkan animasi dan peta Klik

DAN Real Player untuk memaparkan klip video dan audio. Klik untuk download dan install sekarang!
Paparan terbaik dengan Internet Explorer 5.0 dengan resolusi 800x600.
   
  Hakcipta Terpelihara © 2002 Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah.
Go!