Anda di sini:

YTM Tunku Abd Rahman Al-Haj Ibni
Almarhum Sultan Abdul Hamid Shah

Perdana Menteri Malaysia yang pertama

Dikenali Sebagai ' Bapa Malaysia'
Setiausaha Agung Pertama Sekretariat Islam (OIC)
Presiden Pertama PERKIM
Presiden Pertama Persatuan Bolasepak Malaysia

Photo Album
 

YTM Tunku Abd Rahman Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah dilahirkan pada 8 Februari 1903 di Istana Pelamin, Alor Star, Kedah. Tunku Abdul Rahman mendapat pendidikan awal pada tahun 1909 di Sekolah Rendah Melayu, Jalan Baharu, Alor Star dan kemudiannya Sekolah Inggeris Kerajaan atau namanya sekarang Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Star. Dua tahun kemudian iaitu ketika beliau berusia lapan tahun, beliau dihantar bersekolah di Sekolah Thebsurian, Bangkok. Pada tahun 1915, beliau meneruskan pengajian di Penang Free School, Pulau Pinang.

Pada tahun 1918, Tunku telah dikurniakan biasiswa Negeri Kedah untuk melanjutkan pelajaran di St. Catherine College, Universiti Cambridge di mana beliau memperolehi Ijazah B.A. Tunku merupakan pelajar Kedah yang pertama belajar di United Kingdom dengan memperolehi biasiswa dari Kerajaan Negeri Kedah.

Kerjaya :

  • Kadet di Pejabat Undang-Undang Alor Star
  • Penolong Pegawai Daerah Sungai Petani dan Kulim
  • Pegawai Daerah Sungai Petani
  • Pegawai Daerah Langkawi
  • Timbalan Pengarah Keselamatan Awam Kedah (1940)
  • Penguasa Pelajaran Kedah (1943)
  • Timbalan Pendakwa Umum Jabatan Undang-Undang Persekutuan
  • Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu (1955)
  • Menteri Ehwal Dalam Negeri
  • Perdana Menteri Malaysia yang pertama

Penglibatan Politik :

  • Ketua Pertubuhan Kebangsaan Melayu (UMNO) Bahagian Kedah
  • Presiden UMNO (26 Ogos 1951)

Penglibatan Pertubuhan Sosial dan Profesional :

  • Canselor Universiti Malaya (1962)
  • Presiden PERKIM yang pertama (November 1982)
  • Setiausaha Agong yang pertama Sekteriat Islam (OIC)
  • Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)

Tunku telah meletakkan jawatan daripada Perkhidmatan Kerajaan untuk menjadi Presiden UMNO bagi menggantikan Dato' Onn Jaafar pada 26 Ogos 1951. Sebagai Presiden UMNO, beliau banyak menyelesaikan masalah politik di Tanah Melayu dengan mendapatkan kerjasama daripada semua kaum. Hasilnya, beliau berjaya menubuhkan satu perikatan antara UMNO, Persatuan Cina Malaya (MCA) serta Kongres India Malaya (MIC) dan gabungan ini dinamakan sebagai Perikatan.

Dalam pilihanraya pertama iaitu pada bulan Julai 1955, Perikatan telah memenangi 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. Tunku kemudian dilantik menjadi Ketua Menteri dan Menteri Ehwal Dalam Negeri. Setelah menang dalam pilihanraya tersebut, arah Tunku seterusnya ialah untuk mencapai kemerdekaan. Persetujuan dicapai sewaktu mengadakan rundingan dengan kerabat DiRaja dan akhirnya mereka bertolak ke London untuk berbincang mengenai rundingan kemerdekaan dengan kerajaan British bagi mendapatkan kemerdekaan untuk Tanah Melayu. Rundingan tersebut mencakupi pelbagai masalah termasuklah masalah Raja-Raja Melayu, kedudukan pegawai-pegawai awam British yang sedang berkhidmat di Tanah Melayu dan lain-lain langkah peralihan yang perlu diputuskan sebelum merdeka serta tarikh kemerdekaan yang menurut Tunku perlu disegerakan. Akhirnya Tanah Melayu berjaya mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Pada 28 Disember 1955, YTM Tunku buat pertama kalinya bertemu dengan Chin Peng, Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM) iaitu dalam Rundingan Baling. Pada waktu itu, Tunku menjadi Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu. Rundingan Baling pada tahun 1955 ini dianggap sebagai suatu sejarah yang sangat penting bagi negara kerana di situlah bermulanya titik tolak bagi menumpaskan kegiatan komunis.

Apabila Tanah Melayu merdeka, Tunku telah dipilih sebagai Perdana Menteri Malaysia yang pertama. Semasa menjadi Perdana Menteri, Tunku berusaha menegakkan sebuah kerajaan demokrasi dan menjaga hubungan baik dengan negara luar. Persekutuan Tanah Melayu telah menjadi anggota Komanwel dan telah menandatangani satu Perjanjian Pertahanan dengan United Kingdom. Pada April 1959, Tunku telah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan bersiap sedia untuk bertanding dalam pilihanraya pertama iaitu pada bulan Ogos 1959. Pada bulan yang sama, apabila menang dalam pilihanraya, sekali lagi Tunku dilantik menjadi Perdana Menteri.

Dalam tempoh beberapa bulan selepas merdeka, Tunku banyak membuat kunjungan muhibah ke luar negeri termasuk Vietnam, Ceylon (Sri Lanka), Jepun dan Brunei. Pada bulan Januari 1959, semasa menjadi tetamu negara Filipina, Tunku telah mengusulkan pembentukan persekutuan negara-negara Asia Tenggara bagi mendapatkan kerjasama ekonomi dan kebudayaan serantau sehingga membawa kepada pembentukan Persekutuan Negara Asia Tenggara (Association of South East Asia- ASA) pada tahun 1961.

Pada bulan Mei 1961, dalam majlis dengan wartawan asing di Singapura, Tunku dengan telah mengumumkan bahawa Tanah Melayu akan menandatangani satu persefahaman dengan British, Singapura, Sabah dan Sarawak untuk menubuhkan sebuah negara Malaysia. Hasrat Tunku menubuhkan Malaysia ditentang oleh Filipina dan Indonesia. Namun begitu, dengan kesungguhan dan kegigihan serta ketabahan beliau, penubuhan Malaysia yang terdiri daripada Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak berjaya diisytiharkan pada 16 September 1963. Bagaimanapun, Tunku terpaksa mengeluarkan Singapura dari Malaysia pada bulan Ogos 1965, menjadikan Malaysia satu persekutuan yang terdiri daripada 13 buah negeri.

Kegiatan Tunku di dalam bidang penulisan sudah lama bermula iaitu sejak peristiwa kebangkitan orang Melayu di Kedah menentang penubuhan Malayan Union. Beliau merupakan pengarang Majalah Watan yang diterbitkan di Alor Star pada tahun 1946. Menerusi majalah tersebut, Tunku telah mula menulis beberapa rencana yang berjaya meniup semangat nasionalisme di kalangan orang-orang melayu. Antara karya Tunku yang pernah diterbitkan ialah 'Peristiwa 13 Mei', 'Looking Back', 'View Points', 'As A Matter of Interest', 'Lest We Forget', 'Challenging Times', 'Something to Remember', 'Political Awakening', 'Baling Talk' dan 'Malaysia-The Road To Independence'.

Bagi menghargai sumbangan dan jasa baktinya, beliau telah dianugerahkan 'Outstanding Malaysian of the Year' pada tahun 1987, 'Honorary Citizen of London', 'International Sports Award' dari United States of Sports Academy pada tahun 1981, anugerah 'The Replica of Dhu'l Faqar' dari Al-Malik Faisal 9 pada tahun 1983, 'Doktor Kehormat Undang-undang' dari University of Oxford serta anugerah 'Ramon Magsaysay' pada tahun 1960. Beliau turut mendapat pengiktirafan sebagai 'Bapa Kemerdekaan' dan 'Bapa Malaysia'

Tunku telah mangkat di Hospital Besar Kuala Lumpur pada 6 Disember 1990. Jenazahnya dimakamkan di Makam DiRaja Langgar, Alor Star, Kedah pada 7 Disember 1990.

 

 
   
TUTUP TETINGKAP
Hakcipta Terpelihara © 2002 Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah.