Anda di sini:

Y.A.Bhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad
 

Doktor yang pertama menjadi Perdana Menteri Malaysia

Doktor Melayu pertama membuka klinik persendirian
Perdana Menteri Malaysia yang paling lama berkhidmat dalam negara.

Anugerah Album Foto Klip Video


Y.A.Bhg. Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia yang keempat merupakan tokoh politik, negarawan dan pemimpin antarabangsa yang sangat terkenal dengan idea-idea yang bernas, kontroversial dan tegas dalam memberi pendapat dan pemikirannya. Beliau dilahirkan pada 20 Disember 1925 di Seberang Perak, Alor Star, Kedah. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Lelaki Seberang Perak dan pendidikan menengah di Kolej Sultan Abdul Hamid, kedua-duanya di Alor Star. Beliau tamat persekolahan dan lulus 'Senior Cambridge' dengan cemerlang pada tahun 1945 .Pada tahun 1947, beliau telah melanjutkan pelajarannya di King Edward VII College of Medicine di Singapura. Beliau telah dianugerahkan ijazah perubatan MBBS pada tahun 1952.

Kerjaya :

  • Doktor pelatih, Hospital Besar Pulau Pinang
  • Pegawai Perubatan, Hospital Besar Alor Star (1954)
  • Pernah berkhidmat di Hospital Langkawi, Hospital Jitra dan Hospital Perlis
  • Membuka klinik persendirian (MAHA Klinik), Alor Star, (1957)
  • Menteri Pelajaran Malaysia (5 September 1974)
  • Timbalan Perdana Menteri (5 Mac 1976) tetapi masih memegang portfolio pendidikan
  • Berkhidmat di Kementerian Perdagangan dan Industri (1977)
  • Dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke 4 oleh DYMM Yang DiPertuan Agong, (18 Julai 1981)
  • Menteri Pertahanan (18 Julai 1981 - 6 Mei 1986) disamping memegang jawatan Perdana Menteri
  • Menteri Dalam Negeri (7 Mei 1986) disamping memegang jawatan Perdana Menteri
  • Menteri Kehakiman (1987) disamping memegang jawatan Menteri Dalam Negeri dan Perdana Menteri
  • Menteri Hal-Ehwal Dalam Negeri (Oktober 1990 - Januari 1999) disamping memegang jawatan Perdana Menteri
  • Menteri Kewangan Pertama (8 Januari 1999) disamping memegang jawatan Perdana Menteri
  • Menteri Kewangan dan Menteri Tugas-tugas Khas (5 Jun 2001) disamping memegang jawatan Perdana Menteri.

Penglibatan Politik :

  • Ahli Kesatuan Pemuda Melayu Kedah
  • Ahli UMNO Bahagian Alor Star
  • Ahli Majlis Bandaran Alor Star (1950an)
  • Ahli Parlimen Kota Setar Selatan (1964)
  • Ahli Majlis Tertinggi UMNO (1973)
  • Dilantik sebagai Senator oleh Majlis Mesyuarat Negeri Kedah ke Dewan Negara
  • Ahli Parlimen Kubang Pasu (1974 hingga kini)
  • Naib Presiden UMNO (1975)
  • Timbalan Presiden UMNO(1980)
  • Presiden UMNO (Jun 1981 hingga kini)

Dalam hubungan antarabangsa, beliau berjaya menarik perhatian dunia di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Dalam ucapan-ucapannya di badan dunia itu, kritikan-kritikannya kepada kuasa barat dan kuasa besar dunia memeranjatkan banyak pihak. Ini menjadikan beliau sebagai pemimpin dunia ketiga yang mula diberi perhatian media antarabangsa.

Penglibatan di peringkat antarabangsa :

  • President of United Nations Sponsored International Conference on Drug Abuse and Illicit Trafficking (ICDAIT), Vienna, Austria (1987)
  • Chairman of the High Level Appraisal Group (HLAG) CHOGM (1989)
  • Pengerusi 27th CHOGM Conference di Kuala Lumpur.
  • Chairman of the Group 11 Commonwealth Heads of Government
  • Perasmi Zimbabwe International Trade Fair, orang bukan Afrika pertama diberi peluang sejak ia dijalankan 34 tahun yang lalu (1994)
  • Vice President of the World Solar Commision, (1996)

Dari segi pembangunan ekonomi negara, Tun Dr. Mahathir nyata sekali telah membuat anjakan paradigma yang jelas dalam struktur sistem ekonomi Malaysia. Daripada sebuah negara yang berteraskan sistem pertanian sara diri, perladangan getah dan bijih timah, Malaysia telah menjalankan ekonomi berteraskan industri dan perdagangan. Beliau turut memperkenalkan industri berat dan berteknologi tinggi di Malaysia yang telah berkembang menjadi sebuah industri yang maju dan berdaya saing. Tun Dr. Mahathir telah membawa pembaharuan dalam sistem pentadbiran negara dengan memperkenalkan 'Dasar Pandang ke Timur' untuk mengambil contoh kejayaan negara-negara Asia Timur, 'Dasar Penswastaan', 'Dasar Bersih, Cekap dan Amanah', 'Kepimpinan Melalui Teladan' dan 'Penerapan nilai-nilai Islam' ke dalam perkhidmatan awam untuk mewujudkan lagi jentera kerajaan yang cekap dan menghasilkan mutu kerja yang berdaya saing dan berkualiti. Polisi-polisi ini telah menjadikan perkhidmatan awam di Malaysia antara yang terbaik di dunia pada hari ini.

Bagi mencapai status negara maju, Tun Dr. Mahathir telah mewujudkan Wawasan 2020 sebagai tahun untuk Malaysia mencapai status negara maju dan menyeru rakyat agar berusaha dan mempersiapkan diri bagi mencapai Wawasan tersebut. Pada akhir 1990an, Tun Dr. Mahathir telah menyediakan Malaysia dengan cabaran masa depan dengan menubuhkan Multimedia Super Corridor (MSC) yang menekankan teknologi maklumat sebagai aset penting negara di alaf akan datang.

Di zaman persekolahannya, Dr. Mahathir amat meminati bidang penulisan. Beliau pernah menjadi editor majalah Darulaman terbitan Kolej Sultan Abdul Hamid. Ketika di universiti, beliau merupakan editor majalah terbitan Kolej Perubatan Singapura.

Sebagai menghargai sumbangan dan jasa baktinya, beliau telah dianugerahkan pingat dan darjah kebesaran oleh kerajaan di dalam dan luar negara. [Sila Klik]

Sememangnya sumbangan yang diberikan oleh beliau kepada agama, bangsa dan negara amat besar di dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang dinamik, maju dan canggih. Daya tahan beliau sebagai tonggak utama negara selama dua dekad merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan.

 
   
TUTUP TETINGKAP
Hakcipta Terpelihara © 2002 Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah.