Anda di sini:

Dato' Abdullah bin Hussain

Pemenang pertama hadiah Sayembara Novel nasional (mengenang Pak Sako)
 

Sasterawan Negara, Dato' Abdullah Hussain dilahirkan pada 25 Mac 1920 di Sungai Limau Dalam, Yan Kedah. Pada tahun 1926, beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu sehingga lulus darjah lima dalam tahun 1931 dan meneruskan pendidikannya di Sekolah St. Michael, Alor Star, Kedah dari tahun 1932 hingga 1933. Kemudian pada tahun 1935, beliau telah meneruskan pengajian di Anglo Chinese School, Alor Star, Kedah, hingga lulus darjah VII. Semasa pendudukan Jepun pada tahun 1943, beliau sempat belajar di Syonan Koa Kunrenzo (Sekolah Latihan Pegawai-Pegawai Tinggi) di Singapura selama tiga bulan.

Kerjaya :

  • Penolong Penjaga Stor, lombong bijih di Pahang (1939)
  • Berkhidmat di Bahagian Penerbitan, syarikat suratkhabar Sahabat, Pulau Pinang (1939)
  • Pembantu pengarang suratkhabar Saudara, (1940)
  • Kerani dan tukang dobi di kem tentera Sungai Petani, Kedah sehingga kedatangan tentera Jepun.
  • Wartawan suratkhabar Merdeka, Berita Indonesia dan Majalah Merdeka, Singapura (1951)
  • Pengarang Majalah Bintang, Majalah Filem dan akhbar Semenanjung.
  • Pembantu pengarang di Franklin Book Programme dan Oxford University Press (1965 - 1968)
  • Editor majalah Angkatan Baru (1965 - 1968)
  • Pegawai Penyelidik Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), (1968 - 1978)
  • Ketua Unit Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka cawangan Sabah (1978 - 1979)
  • Ahli Cipta Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia, (1979 - 1981)
  • Ketua Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka, Brunei Darussalam (1982)
  • Pegawai Bahasa Kanan Dewan Bahasa dan Pustaka, Brunei
  • Karyawan Tamu Dewan Bahasa dan Pustaka

Karya pertama beliau ialah sebuah cerita lucu yang disiarkan dalam majalah Tanah Melayu iaitu pada sekitar tahun 1939. Kemudian beliau terus menghasilkan karya dalam bidang cerpen, novel, biografi / autobiografi, terjemahan dan esei sastera. Sehingga kini, beliau telah menghasilkan 25 buah novel, tiga buah kumpulan cerpen, sembilan buah terjemahan , sebuah autobiografi dan enam buah biografi. Selain menggunakan nama pena Zamroed, beliau juga dikenali sebagai Roslani Shikin, A.A, Adiwijaya, A.H, Andijaya, Asly, Bintang Kecil, Iskandar Muda dan Suryakanta.

Menerusi hasil tulisan yang dihasilkan, beliau berusaha menampilkan nilai-nilai positif masyarakat dan berusaha membina jati diri kepengarangannya. Beliau merupakan seorang sasterawan veteran yang terus komited dan gigih dalam mengembangkan bakat kreativitinya. Dalam usianya yang sudah menjangkau 74 tahun, semangat perjuangannya dalam dunia penulisan masih terus bersemarak.

Sebagai menghargai sumbangan dan jasa baktinya, beliau telah dianugerahkan S.E.A Write Award di Bangkok pada tahun 1981 (pemenang pertama hadiah Sayembara Novel Nasional - mengenang Pak Sako), Hadiah Pertama Novel Nasional anjuran Syarikat Utusan Malaysia dan Public Bank pada tahun 1992/94 menerusi novel Iman, Pingat Jasa Hukom Ngon Adat Lembaga Adat Kebudayaan Aceh pada tahun 1995, Anugerah Sasterawan Negara pada tahun 1996 dan Dato' Setia DiRaja Kedah (D.S.D.K) pada tahun 1996 yang membawa gelaran Dato'.

Photo Album
 
   
TUTUP TETINGKAP
Hakcipta Terpelihara © 2002 Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah.