Anda di sini:

Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary
 

Tan Sri Syed Mokhtar Shah Bin Syed Nor Al-Bukhary merupakan tokoh yang semakin menyinar dalam bidang korporat di Malaysia. Beliau kini berusia 51 tahun dan memulakan kerjayanya di Johor pada awal tahun 90-an. Beliau mula melibatkan diri dalam bidang perniagaan sebagai pemborong beras dan kini beliau merupakan seorang tokoh korporat bumiputera yang disegani dan berjaya di dalam sektor perladangan, pembangunan hartanah, pembinaan, kejuruteraan, janakuasa, infrastruktur dan pelabuhan.

Beliau merupakan simbol anak Melayu yang berkebolehan di dalam bidang perniagaan (korporat) yang dapat memimpin beberapa konglomerat besar. Kejayaannya dapat dilihat dengan penguasaan sebanyak 90 peratus ke atas Seaport Terminal (Johor) Sdn. Bhd pada tahun 1993. Beliau juga telah berjaya mendapat satu projek mega apabila Seaport diberi penyerahan selama 30 tahun untuk membina Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP). Seaport memiliki 60 peratus daripada projek Pelabuhan Tanjung Pelepas dan menjadikan beliau sebagai pemegang saham yang terbesar. Beliau telah mendapat pujian oleh kerajaan kerana kejayaannya mengendalikan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dimana beliau berjaya menguruskan pelabuhan tersebut menjadi satu pelabuhan yang cergas di bahagian Selatan Semenanjung Malaysia. PTP berjaya menarik minat syarikat perkapalan Taiwan Evergreen Marine Corporation seperti yang diumumkan akan memindahkan seluruh operasi kontenanya ke Johor daripada Singapura. Ia merupakan satu projek yang akan memacu rencana kerajaan Malaysia untuk membangunkan negara sebagai hak perkapalan yang termaju dirantau ini.

Selain daripada itu, beliau juga merupakan pemegang saham di dalam Malaysia Mining Corporation (MMC) iaitu sebanyak 19.9% melalui syarikat miliknya iaitu Syarikat Impian Teladan Sdn. Bhd. Secara persendirian, Tan Sri Syed Mokhtar juga memiliki SKS Ventures Sdn. Bhd di mana beliau telah diberi tanggungjawab menjalankan projek membina 2100MW tapak 'gas-fired' di Tanjung Bin, Johor. Beliau juga mempunyai kepentingan di dalam PERNAS di mana Tan Sri Syed Mokhtar memiliki 32% saham melalui syarikat Restu Jerneh. Beliau juga turut memiliki kepentingan di dalam Fiamma Holdings Berhad di mana terdapat 18.68% saham diperolehi melalui Syarikat Perdana Padu Sdn. Bhd dan Corak Kukuh Sdn. Bhd miliknya. Tan Sri Syed Mokhtar juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Bina Puri Holdings Berhad di mana beliau merupakan pemegang saham secara individu sebanyak 7.34%. Selain daripada itu, Tan Sri Syed Mokhtar juga mempunyai kepentingan di dalam lain-lain syarikat-syarikat tempatan dan asing di Malaysia.

Terdapat satu lagi projek yang akan menaikkan nama beliau di peringkat antarabangsa iaitu projek Muzium Kesenian Islam di Kuala Lumpur yang mana cadangan penubuhan muzium tersebut adalah daripada Perdana Menteri sendiri. Tan Sri Syed Mokhtar juga bertanggungjawab dengan kemasukan pusat membeli-belah Harrods yang terkenal di London ke Malaysia menerusi syarikatnya, Amtek Holdings Bhd. Tan Sri Syed Mokhtar mempunyai peranan yang penting dalam Yayasan Al - Bukhary iaitu syarikat milik keluarga dimana beliau bertindak sebagai Pengerusi Eksekutif. Menerusi Yayasan Al - Bukhary, beliau telah banyak memberi sumbangan dalam kerja-kerja berkaitan dengan kebajikan sosial Islam dan pembinaan Masjid Al -Bukhary di negeri Kedah.

Bagi menghargai sumbangan dan jasa baktinya, beliau telah dianugerahkan pingat dan darjah kebesaran antaranya Panglima Setia Mahkota (P.S.M) oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong yang membawa gelaran Tan Sri dan Dato' Setia mahkota Kedah (D.S.D.K) oleh KDYMM Sultan Kedah yang membawa gelaran Dato'.

 
   
TUTUP TETINGKAP
Hakcipta Terpelihara © 2002 Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah.