|
Tan Sri Hassan Marican dilahirkan di Sungai
Petani, Kedah. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Ibrahim,
Sungai Petani Kedah dan seterusnya menyambung pengajian di Kolej
Melayu Kuala Kangsar (MCKK).
Kerjaya :
- Kerani artikel di firma Touche Ross
- Rakan kongsi firma perakaunan Hanafiah Raslan dan Mohamad (1981)
- Naib Presiden Kanan (Kewangan) Petronas (1989)
- Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas (1995-kini)
Hasil kepimpinan beliau dan sokongan semua pihak
yang terbabit, Petronas bangun dari sebuah syarikat minyak yang
dahulunya kerdil di kalangan syarikat-syarikat minyak gergasi antarabangsa
seperti Shell dan Esso untuk mendapat tempat pertama dari segi pulangan
keuntungan dalam senarai Fortune Global 500 dengan keuntungan bersih
US$4.3 billion dan berkedudukan tempat ke 254. Pengalaman beliau
sebagai akauntan bersekutu dan mengendalikan pelbagai jenis industri
membolehkan beliau mengurus sebuah syarikat kejuruteraan terbesar
di Malaysia dengan lebih daripada 4,000 orang jurutera.
Hasil daripada kepimpinan beliau, Petronas telah
mengorak langkah yang berani untuk memasuki industri automatif yang
sangat kompetitif dengan memulakan projek enjin komersil yang pertama
Malaysia. Projek ini telah berjaya menghasilkan enjin 2000cc yang
memenuhi spesifikasi tinggi dalam tujuh aspek utama serta boleh
digunakan untuk pelbagai model kereta. Ini terbukti bahawa rakyat
Malaysia berkebolehan dan setanding dengan industri automatif dunia.
Seterusnya, Tan Sri Hassan telah berjaya membawa Petronas mencipta
nama di peringkat antarabangsa apabila berjaya membina 'Triple
Well' yang pertama di dunia di Sarawak. Teknologi inovatif ini
menggunakan tiga telaga dengan enam talian pengeluaran yang digerudi
melalui satu laluan yang dikongsi. Kepekaan pada alam sekitar juga
memperlihatkan Petronas di bawah pimpinan beliau memperkenalkan
Enviro 2000 iaitu kenderaan mesra alam yang menggunakan NGV (Natural
Gas for Vehicles).
Sebagai satu pengiktirafan kepada kepimpinan
beliau yang dinamik, agresif dan efektif, beliau telah dianugerahkan
pingat A.M.K pada tahun 1991. Darjah Sultan Mahmud Terengganu Yang
Amat Terpuji pada tahun 1992, Darjah Seri Paduka Mahkota Terengganu
pada tahun 1996 dean P.S.M yang membawa gelaran Tan Sri pada tahun
1997. Di samping itu, beliau telah diberi penghormatan oleh Kerajaan
Perancis dengan penganugerahan 'Commandeur de la Legion D'Honneur'
pada tahun 2000. Beliau turut menerima penganugerahan 'Friendship
Medal' dari kerajaan Vietnam pada tahun 2001. Dalam profesion
perakaunan, Tan Sri Mohd. Hassan Marican diiktiraf sebagai 'Fellow
Institute of Chartered Account' di England dan Wales serta ahli
'Malaysian Institute of Accountants' dan 'Malaysian Association
of Certified Public Accountants'. Beliau juga telah diberi penghormatan
oleh Universiti Malaya dengan penganugerahan Ijazah Kehormat di
atas sumbangan dan peranan beliau dalam kemajuan , pembangunan dan
kecemerlangan kejuruteraan tanah air.
|