| |
Datuk Adzmi bin Abdul Wahab telah dilahirkan
pada 11 Mei 1943 di Kuah, Langkawi, Kedah. Beliau menerima pendidikan
awal di Sekolah Rendah Melayu Kuah, Langkawi pada tahun 1949 sehingga
tahun 1954. Pada tahun 1955, beliau telah menyambung pendidikan
menengahnya di Sekolah Menengah Georgetown, Pulau Pinang. Beliau
kemudian meneruskan pengajiannya ke Sekolah Menengah Tuanku Abdul
Rahman (STAR), Ipoh pada tahun 1956 sehingga tahun 1963.
Pada tahun 1967, beliau telah melanjutkan pengajiannya
ke Universiti Malaya sehingga memperolehi Sarjana Muda Sastera (kepujian)
Ekonomi dan Pengajian Melayu. Pada tahun 1970, beliau telah menyambung
kembali pengajiannya dan memperolehi Diploma Pentadbiran Awam juga
dari Universiti Malaya. Kemudian beliau meneruskan pengajiannya
dalam bidang Pentadbiran Awam di Universiti of Southern California,
Amerika Syarikat pada tahun 1976 sehingga memperolehi Ijazah Sarjana
Pentadbiran Perniagaan (MBA).
Kerjaya:
- Penolong Setiausaha, Kementerian Kewangan Malaysia (1967)
- Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Pengurusan Kontrak dan Bekalan
(1970 - 1974)
- Pengarah Bahagian Pelaburan dan Penggalakan, Lembaga Kemajuan
Pahang Tenggara (DARA) (1976 - 1978)
- Pengarah Sektor Perbadanan Awam dan Unit Penyelarasan Perlaksanaan
, Jabatan Perdana Menteri (1978 - 1980)
- Pengarah Urusetia Perancangan Lembah Kelang, Jabatan Perdana
Menteri (1980 - 1982)
- Pengurus Bahagian Perancangan Korporat (1982 - 1985)
- Pengurus Besar Korporat (PROTON) (1985 - 1989)
- Pengarah Bahagian Pentadbiran dan Kewangan (1990 - 1992)
- Pengarah Urusan EON (Nov. 1992)
Bagi menghargai jasa dan sumbangannya terhadap
kerajaan dan negara, beliau telah dianugerahkan beberapa anugerah
dan pingat kebesaran. Antaranya ialah Anugerah Khidmat Cemerlang
oleh Setiausaha Negara pada tahun 1981, Pingat Kesatria Mangku Negara
oleh DYMM Yang DiPertuan Agong pada tahun 1981, Pingat Johan Setia
Mahkota oleh DYMM Yang DiPertuan Agong pada tahun 1991, Darjah Setia
DiRaja Kedah oleh KDYMM Sultan Kedah pada tahun 1994, Pingat Panglima
Jasa Negara oleh DYMM Yang DiPertuan Agong pada tahun 1999, Pingat
Darjah Setia Pangkuan Negeri oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang
pada tahun 2000 dan Pingat Dato' Paduka Mahkota Selangor oleh KDYMM
Sultan Selangor pada tahun 2001.
|
|