Anda di sini:

Haji Mohamad Sheriff Bin Osman

 

Haji Mohamad Sheriff bin Osman merupakan seorang pentadbir dan pemimpin yang lahir dari golongan orang kebanyakan di zaman pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah yang pada masa itu dikuasai oleh golongan-golongan bergelar seperti Tunku, Syed dan Wan. Beliau dilahirkan pada 5 Ogos 1890 di Seberang Sungai Raja, Alor Setar. Mendapat pendidikan sehingga darjah 7 di Sekolah Inggeris, Penang Free School.

Pada awal pembabitan beliau dalam pentadbiran, Haji Mohamad Sheriff pernah dilantik memegang jawatan-jawatan utama dalam Kerajaan Negeri Kedah antaranya sebagai penterjemah di Pejabat Penasihat Inggeris Alor Setar pada tahun 1907, Penolong Setiausaha Majlis Negeri Kedah pada tahun 1901, Kepala Pekerjaan Tanah pada tahun 1912, Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri pada tahun 1915 dan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah pada tahun 1931 hingga tahun 1948. Beliau telah dilantik sebagai Menteri Besar Kedah yang pertama pada tahun 1948 hingga tahun 1954.

Sebagai menghargai sumbangan dan jasa baktinya yang cemerlang sebagai Menteri Besar Kedah, beliau telah dikurniakan beberapa anugerah antaranya ialah 'Award of Kedah Long Service Medal' oleh KDYMM Almarhum Sultan Abdul Hamid, C.B.E dan C.M.G daripada Raja Inggeris di London dan 'Kedah Order of Merit' (K.O.M) oleh KDYMM Almarhum Sultan Badlishah.

Haji Mohamad Sheriff kembali ke rahmatullah pada 27 September 1962 sewaktu berusia 72 tahun dan disemadikan di Perkuburan Akar Peluru Alor Setar.

 
   
TUTUP TETINGKAP
Hakcipta Terpelihara © 2002 Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah.