| |
Dato' Seri Syed Nahar dilahirkan pada 12 Mei 1934
di Alor Setar, Kedah. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah
Melayu Derga dan kemudian di Sekolah Melayu Kulim. Selepas itu,
beliau menyambung pendidikan menengah di Sekolah Menengah Ibrahim,
Sungai Petani dan di Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar. Beliau
melanjutkan pelajaran ke Trinity College, Dublin dan memperolehi
Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dan Sains Politik. Seterusnya, beliau
melanjutkan pelajaran ke Bristol University di dalam bidang Pentadbiran
Am dan Kerajaan Tempatan.
Sekembali ke tanahair, Syed Nahar memulakan kerjayanya sebagai
Pengarah Peneroka di Lembaga Kemajuan Tanah (FELDA) pada tahun 1966.
Seterusnya, beliau dilantik sebagai Pengurus Besar di Lembaga Urusan
dan Tabung Haji (LUTH) dari tahun 1964 hingga 1969. Beliau merupakan
Pengerusi Bank Simpanan Nasional yang pertama. Seterusnya beliau
pernah dilantik menyertai Ahli Dewan Undangan Kedah dan Exco Negeri
Kedah. Beliau juga dilantik sebagai pengerusi di beberapa Agensi
Kerajaan Negeri antaranya sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian
(MADA) pada tahun 1969, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah
(PKNK) dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA). Di samping
itu, beliau pernah menjadi Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Padi dan
Beras Negara (LPN), Ahli Lembaga Pertubuhan Peladang Malaysia (LLP)
dan Ahli Lembaga Kemajuan Perusahaan Malaysia (MIDA). Antara jawatan
lain yang pernah disandang ialah sebagai Pengarah Perkim Negeri
Kedah, Pengarah Malayan Banking Bhd dan Ahli Majlis Angkatan Tentera
Malaysia mewakili Raja-Raja. Seterusnya pada tahun 1980, beliau
telah dilantik sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA)
dan Ahli Majlis Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Beliau telah dianugerahi Tokoh Pembangunan Bolasepak Kedah pada
tahun 1989. |
 |
Selain daripada itu, beliau turut mencipta nama di dalam bidang
korporat dan pernah memegang jawatan penting dalam beberapa syarikat
korporat antaranya sebagai Pengerusi Perlis Plantation Bhd, Pengerusi
United Motor Works, Pengarah Syarikat Rahman Hydraulic, Pengerusi
United Malayan Insurance Co. Bhd. dan Pengerusi Taiping Consolidated
Bhd. Beliau juga dilantik sebagai Pengerusi United Malayan Insurance
Co. Bhd, Pengerusi Sime UEP Properties Bhd, Pengerusi Dunlop Malaysia
Industries Bhd, Pengerusi Syarikat Perniagaan Peladang (MADA) Sdn.
Bhd, Pengerusi Pertama Malaysia Finance dan Pengarah Urusan Intradagang
Merchant Bankers (M) Bhd.
Kewibawaan serta sumbangannya dalam bidang pentadbiran telah menarik
perhatian pemimpin negara waktu itu lalu memilih beliau bertanding
dalam Pilihanraya Umum 1969 bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Jerlun/Kodiang.
Pada tahun 1969, beliau telah dilantik menjadi Ketua Pergerakan
Pemuda UMNO Negeri Kedah, menggantikan Y.A.B. Dr. Mahathir Mohamad.
Dalam Pilihanraya Umum tahun 1974, beliau merupakan antara calon
Barisan Nasional yang menang tanpa bertanding bagi kerusi Parlimen
Jerlun/Langkawi. Beliau dilantik menjadi Pengarah Barisan Nasional
Negeri Kedah menjelang Pilihanraya Umum 1978 dan telah memenangi
Pilihanraya Umum 1978 bagi Kerusi Dewan Undangan Negeri Langkawi.
Pada 13 Julai 1978, beliau dilantik menjadi Menteri Besar Kedah
yang kelima dan melepaskan jawatan tersebut pada 28 Januari 1985.

|
 |
Sewaktu memegang jawatan Menteri Besar, sumbangan
dan jasa beliau dalam memaju dan membangunkan Negeri Kedah cukup
besar. Pengenalan sistem portfolio telah memberi keberkesanan di
dalam jentera pentadbiran kerajaan negeri Kedah yang mana setiap
exco diberi tanggungjawab tertentu. Beliau memberikan tumpuan di
bidang perindustrian dengan menjalankan berbagai usaha untuk menarik
sebanyak boleh para pelabur. Antaranya kilang tayar pertama berjaya
didirikan di Mergong pada April 1980 dan diikuti dengan pembinaan
kilang marmar di Langkawi. Seterusnya pembinaan kilang simen yang
terbesar di Asia Tenggara yang telah didirikan di Teluk Ewa Langkawi
pada tahun 1981. Selain daripada itu semasa pentadbirannya, Bandar
Alor Setar turut berkembang maju dengan pesat dimana banyak bangunan-bangunan
baru telah dibina antaranya Bangunan Tunku (UMNO) dan Bangunan Sultan
Abdul Halim yang dibina pada 1983, Menara Peladang dan Wisma PKNK
yang dibina pada tahun 1986.
Bagi menghargai sumbangan dan jasa baktinya,
beliau telah dianugerahi pingat dan darjah kebesaran antaranya Dato'
Paduka Mahkota Kedah (D.P.M.K.) pada tahun 1972, Seri Panglima Mahkota
Kedah (S.P.M.K.) pada tahun 1985, Seri Paduka Mahkota Terengganu
(S.P.M.T.) pada tahun 1985, Kesatria Mangku Negara (K.M.N.) pada
tahun 1986 dan Seri Setia Di Raja Kedah (S.S.D.K.). Beliau juga
telah dianugerahi Tokoh Pembangunan Bolesepak Kedah pada tahun 1989
sebagai menghargai jasa dan sumbangannya dalam sukan bolasepak
|
|