Anda di sini:

Y.B. Tan Sri Dato' Seri Sanusi Bin Junid

 

Y.B. Tan Sri Dato' Seri Sanusi Junid dilahirkan pada 10 Julai 1943 di Yan, Kedah. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Yan pada tahun 1949 hingga tahun 1953 dan pendidikan menengah di Sekolah Menengah Ibrahim, Sungai Petani pada tahun 1954 hingga tahun 1956. Seterusnya pada tahun 1957, beliau berjaya meneruskan pengajian ke Malay College Kuala Kangsar (MCKK). Beliau kemudiannya menyambung pengajian di Institute Of Bankers London, City of London College dan Institute Of Export London pada tahun 1969. Kemudian beliau meneruskan pengajiannya di London University sehingga memperolehi 'Certificate In Foreign Trade And Foreign Exchange' dan Berlitz School Of Language, Germany.

Dato' Seri Sanusi Junid memulakan kerjaya sebagai Pegawai Pelatih di Charterd Bank, Seremban pada tahun 1963. Pada tahun 1971, beliau telah dilantik menyandang jawatan sebagai Setiausaha Agung Koperasi Shamelin dan Pengurus Kanan Pinjaman Charterd Bank, Kuala Lumpur. Beliau juga pernah dilantik memegang beberapa jawatan dalam Lembaga Kerajaan antaranya pada tahun 1973, beliau dilantik sebagai Ahli Majlis Perundingan Belia Negara, Ahli Lembaga Felda, Ahli Majlis Perundingan Negara Mengenai Latihan Perusahaan dan Ahli Majlis Penasihat Kebangsaan Pelindung Pengguna. Manakala pada tahun 1974, beliau dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara. Antara jawatan lain yang pernah disandang oleh beliau ialah Pengarah Bank Simpanan Nasional pada tahun 1975 dan Pengurus Bank Shamelin. Selain itu, beliau merupakan Ahli Jawatankuasa Penyelarasan Pelaburan Bumiputera, Ahli Majlis Tindakan Negara dan Ahli Majlis Perancang Negara pada tahun 1981.


Beliau juga aktif dalam bidang korporat dan juga profesional selain daripada tugas-tugas rasminya.

Bakat kepimpinan yang terserlah pada dirinya menyebabkan beliau diberi kepercayaan dan dilantik memegang beberapa jawatan penting di dalam kabinet. Pada tahun 1978 sehingga tahun 1980, beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri Tanah dan Kemajuan Wilayah dan selepas itu sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri pada tahun 1980 hingga 1981. Pada tahun 1981, beliau telah dilantik sebagai Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar dan memegang jawatan tersebut sehingga tahun 1986. Seterusnya, beliau di beri mandat memegang jawatan sebagai Menteri Pertanian. Beliau telah dilantik sebagai Menteri Besar Kedah Darul Aman yang ketujuh dan menyandang jawatan tersebut pada 16 Jun 1996 sehingga November 1999.

Beliau mula melibatkan diri dalam bidang politik semenjak tahun 1963 sebagai ahli UMNO Seremban. Setahun selepas itu, beliau dilantik sebagai Setiausaha Pemuda UMNO Cawangan Seremban. Seterusnya, beliau telah dilantik sebagai Bendahari UMNO Bahagian Seremban Timur pada tahun 1966, Ketua Penerangan UMNO Bahagian Seremban Timur dan Setiausaha UMNO Bahagian Seremban Timur pada tahun 1967. Kemudian pada tahun 1969, beliau telah dilantik sebagai Ketua Penerangan Kelab Perikatan London. Seterusnya pada tahun 1974, beliau telah dilantik sebagai Ahli Parlimen Jerai Kedah dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jerai pada tahun 1975. Pada tahun 1978, beliau telah dilantik sebagai Ketua Penerangan UMNO Kedah.

Seterusnya pada tahun 1981, beliau dilantik memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penerangan UMNO Malaysia, Pengerusi Biro Penerangan UMNO Malaysia dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia. Pada tahun 1982, beliau dilantik sebagai Ahli Parlimen Kawasan Jerlun / Langkawi dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia. Seterusnya pada tahun 1984, beliau telah dilantik sebagai Setiausaha Agong UMNO Malaysia serta Ketua Bahagian Jerlun / Langkawi pada tahun 1986. Kemudian beliau telah dilantik sebagai Naib Presiden UMNO Malaysia pada tahun 1990 dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Kuah pada tahun 2000.

Selain daripada tugas-tugas rasminya, beliau juga turut aktif dalam bidang korporat dan juga profesional. Pada tahun 1975, beliau dilantik sebagai Pengerusi Syarikat Insan Diranto Bhd. Beliau juga pernah dilantik sebagai Pengerusi Tugu Insurance Sdn Bhd dan Pengerusi Obanto Management Consultancy Sdn Bhd pada tahun 1977. Kemudian, pada tahun 1978, beliau dilantik sebagai Ahli Jemaah Universiti Teknologi Mara. Seterusnya pada tahun 1982, beliau diberi kepercayaan dan dilantik sebagai Ahli Penasihat Kobena dan Ahli Majlis Universiti Malaya. Pada tahun 1983, Dato' Seri Sanusi dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Hari Kebangsaan dan Ahli Majlis Perdagangan Malaysia. Pada tahun 1991, beliau telah dilantik memegang jawatan sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa. Selain daripada itu, beliau pernah memangku jawatan sebagai Naib Presiden ABIM, Setiausaha Agung Pertubuhan Kelab Belia Malaysia (MAYC), Pemangku Presiden MAYC dan seterusnya Presiden MAYC.

Dato' Seri Sanusi Junid pernah menghasilkan beberapa karya penulisan di antaranya bertajuk Empat Penggal Di Parlimen Keempat pada tahun 1978, Kepimpinan Melayu Baru: Harapan dan Cabaran pada tahun 1980, Biar Rugi Beribu Juta Untuk Menebus Maruah pada tahun 1984, Semoga Tempayan Tidak Pecah pada tahun 1985, Di hempas Badai Dilambung Gelombang pada tahun 1986, Antara Dua Ramadhan pada tahun 1988, Antara Fakta dan UMNO pada tahun 1990, Jihad Membasmi Kemiskinan pada tahun 1990 dan Buang Yang Keruh, Ambil Yang Jernih pada tahun 1990.

Sebagai menghargai sumbangan dan jasa baktinya, beliau telah dianugerahkan pingat dan darjah kebesaran antaranya D.S.S.M., S.S.S.A., D.G.S.M., Setia Mahkota Kedah (S.M.K.), Dato' Setia Di Raja Kedah (D.S.D.K.), Panglima Setia Mahkota (P.S.M.) dan Seri Setia Di Raja Kedah (S.S.D.K.).

Photo Album
 
   
TUTUP TETINGKAP
Hakcipta Terpelihara © 2002 Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah.