Anda di sini:


Y.A.B. Dato' Seri Haji Syed Razak Bin Syed Zain Barakbah
(Dato' Seri Setia Diraja)

 


 

Dato' Seri Syed Razak dilahirkan pada 22 Ogos 1944, di Kubang Rotan, Kuala Kedah. Beliau mendapat pendidikan menengah di Sekolah Menengah St. Michael, Alor Setar, Kedah.

Dato' Seri Syed Razak merupakan seorang usahawan bumiputera yang berjaya di dalam bidang perniagaan. Kejayaan beliau boleh dianggap setanding dengan usahawan-usahawan bukan Melayu. Kewibawaan beliau dalam bidang perniagaan menyebabkan beliau diberi kepercayaan menerajui Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Malaysia Cawangan Kedah (DPPMMK) sejak tahun 1986 lagi. Menerusi Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Malaysia Cawangan Kedah (DPPMMK), Dato' Seri Syed Razak cuba sedaya upaya untuk membawa peniaga-peniaga Bumiputera ke arah masyarakat perdagangan dan perindustrian sejajar dengan matlamat Wawasan 2020 untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju.

Dato' Seri Syed Razak mula berkecimpung di dalam bidang politik setelah dilantik sebagai Ketua UMNO cawangan Kilang Ais, Kuala Kedah sejak 15 tahun dahulu. Bermula pada tahun 1985, beliau telah dicalonkan untuk jawatan Naib Ketua UMNO Bahagian Kuala Kedah tetapi jawatan tersebut telah ditolak oleh beliau. Kemudian pada tahun 1986, beliau telah dicalonkan bertanding bagi Dewan Undangan Negeri Kawasan Pengkalan Kundor atas tiket Barisan Nasional dan berjaya mengalahkan calon PAS. Seterusnya pada tahun 1987, beliau berjaya menduduki kerusi Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Kedah. Pada tahun 1993, beliau berjaya mengekalkan jawatan tersebut apabila sekali lagi berjaya menduduki kerusi Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Kedah.


Dato' Seri Syed Razak merupakan seorang usahawan bumiputera yang berjaya di dalam bidang perniagaan. Kejayaan beliau boleh dianggap setanding dengan usahawan-usahawan bukan Melayu.

Pembabitan beliau dalam bidang politik dan pentadbiran kerajaan negeri Kedah lebih daripada 25 tahun menjadikan beliau seorang pemimpin yang sangat berpengalaman dan berdedikasi. Beliau telah dilantik menyertai Ahli Majlis Mesyuarat Negeri Kedah pada tahun 1992. Beliau mula berkhidmat sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Negeri Kedah di bawah pentadbiran Menteri Besar Tan Sri Dato Seri Hj. Osman Aroff dengan memegang portfolio kebudayaan, kesenian dan pelancongan. Selaku ahli Exco, Dato' Seri Syed Razak dipertanggungjawabkan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan Negeri Kedah dan Industri Kecil dan Sederhana. Tugas Dato' Seri Syed Razak semakin berat apabila portfolio yang dipegangnya berkait rapat dengan sektor pelancongan. Beliau telah menetapkan strategi dan objektif bagi memajukan industri pelancongan di negeri Kedah ini sebagai satu sumber pendapatan rakyat.

Dato' Seri Syed Razak dilantik sebagai Menteri Besar Kedah ke lapan menggantikan Tan Sri Dato' Seri Sanusi Junid pada 12 Disember 1999 sehingga kini. Sebagai Menteri Besar Kedah, beliau bertanggungjawab ke atas kewangan dan belanjawan negeri, bertindak sebagai Pengerusi Jawatankuasa Galakan Pelaburan, Jawatankuasa Perancang Ekonomi Negeri, Jawatankuasa Perancang Negeri, Majlis Pembangunan Negeri, Jawatankuasa Tanah dan Hasil Bumi, Jawatankuasa Pembangunan Teknologi Maklumat dan Jawatankuasa Keselamatan Negeri.

Bagi menghargai sumbangan dan jasa baktinya beliau telah dianugerahi pingat dan darjah kebesaran iaitu, Seri Setia Di Raja Kedah (S.S.D.K.) Kesatria Mangku Negara (K.M.N.), Bintang Kebaktian Masyarakat (B.K.M.), dan Jaksa Pendamai (J.P.).

Photo Album
 
   
TUTUP TETINGKAP
Hakcipta Terpelihara © 2002 Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah.