| |
Wan Yahya dilahirkan sekitar tahun 1870 di Alor Setar. Ayahnya
merupakan cucu kepada Wan Musa bin Temenggung Seri Raja Putera yang
terkorban semasa berjuang di Kuala Kedah dalam tahun 1838. Beliau
menerima pendidikan di Sekolah Melayu di Penaga, Seberang Perai
kerana pada masa itu sekolah di negeri Kedah belum lagi wujud. Setelah
lulus Darjah IV dan khatam membaca Al-Quran, beliau telah pulang
ke Kedah.
Kerjaya:
- Kerani Pejabat Tanah, Alor Setar
- Inspektor Polis
- Pegawai Daerah Kubang Pasu
- Ketua Majistret , Alor Setar
- Penguasa Monopoli Candu dan Minuman
- Syahbandar, Alor Setar
- Hakim Mahkamah Rayuan, Kedah
- Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah yang kedua (1922 - 1929)
Semasa Wan Yahya bertugas sebagai Pegawai Daerah Kubang Pasu,
beliau telah berusaha mengumpulkan rakyat bergotong-royong mengorek
sebatang terusan dari Kodiang ke Kuala Sanglang sejauh 7 km untuk
meluaskan kawasan persawahan. Terusan tersebut dipanggil 'Sungai
Korok Wan Yahya. Sekitar tahun 1902, Wan Yahya telah mengerahkan
rakyat membina sebatang jalan raya dari Jitra ke Kodiang. Jalan
tersebut mengambil masa selama empat tahun untuk disiapkan. Dalam
tahun 1906, pihak Jabatan Kerja Raya telah menguatkan jalan tersebut
dan menurapnya dengan batu. Apabila Kedah ditadbir oleh British
dalam bulan Julai 1909, sempadan Kubang Pasu diperkecilkan dari
Bukit Kayu Hitam ke Sungai Padang Terap sahaja dan ibu daerah dipindahkan
ke Jitra.
Beliau meninggal dunia pada 17 Ramadhan 1354 bersamaan 13 Disember
1935. Karya Wan Yahya yang terpenting ialah 'Salasilah atau Tarekh
Kerja-an Kedah' yang dikarang dalam tahun 1911 dan masih lagi dijadikan
bahan rujukan yang berguna. Selain itu, beliau juga telah mengarang
buku yang menceritakan kisah pelayarannya pergi dan balik ke Tanah
Suci Makkah dan lawatannya ke beberapa buah negeri di Timur Tengah
dalam tahun 1915.
|
|