 |

Balai Besar dilihat dari hadapan.

Bahagian belakang dari Balai Siak
ada dua tangga yang bercabang ke kiri dan ke kanan untuk turun
ke halaman istana dalam kota.
|
Bangunan ini asalnya berfungsi sebagai Balai Rongseri atau Balai
Penghadapan, merupakan sebahagian daripada Kompleks Istana Kota
Setar yang terletak di belakangnya. Bangunan asalnya dibina dalam
tahun 1735 oleh Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Muazzam Shah,
Sultan Kedah ke-19 (1710-1778). Tiang, atap dan lantainya diperbuat
daripada kayu.
Bangunan ini pernah musnah akibat serangan Armada Bugis (1770)
dan Siam (1821). Pada zaman Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Sultan
Kedah ke-26 (1882-1943), bangunan ini dibaikpulih (1896) diketuai
oleh Muhammad bin Lebai Tambi, arkitek dari Jabatan Kerja Raya Negeri
Kedah untuk melangsungkan perkahwinan putera-puteri baginda lima
bersaudara (1904).
Di samping majlis perkahwinan, Balai Besar ini juga digunakan
untuk majlis pertabalan, majlis-majlis rasmi, persidangan Majlis
Negeri (State Council) semenjak tahun 1905 sehingga tahun 1973.
Dua orang Sultan Kedah yang pernah ditabalkan secara rasmi di
Balai Besar ini ialah Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II, Sultan
Kedah ke-22 (1804-1845) pada tahun 1805 dan KDYMM Tuanku Sultan
Haji Abdul Halim Mu'Adzam Shah pada 20 Februari 1959.
Rekabentuk Bangunan.
Rekabentuk Balai Besar bercirikan rumah Melayu bumbung panjang.
Di sebelah kiri kanan Balai Besar adalah serampi. Serampi sebelah
kanan singgahsana ialah tempat anak-anak menteri, hulubalang dan
anak-anak pembesar serta rakyat baik-baik. Di serambi kiri ialah
tempat alim ulama, saudagar-saudagar dan rakyat baik-baik. Di tengah
balai ialah tempat "anak-anak istana" iaitu pemegang alat-alat
kebesaran DiRaja bersama dengan menteri dan pegawai kanan kerajaan
mengikut status masing-masing hinggalah kepada rakyat biasa.
Tiang dan alangnya diperbuat daripada kayu cengal yang bermutu
dari negeri Kedah. Bumbungnya diperbuat daripada atap rembia. Di
hadapan Balai Besar didirikan dua buah tangga besar, kiri dan kanan
untuk naik ke dewan besar, rumah tangga, serambi kanan, serambi
kiri serta astaka dan singgahsana dan Balai Siak iaitu bahagian
belakang sekali bangunan tersebut.
|