 |

Tempat bersemayam Sultan Kedah
dan beberapa adat istiadat Diraja.

Pintu Gerbang masuk ke Rumah Pelamin
yang dihiasi dengan ukiran yang menarik.

Pintu utama untuk masuk ke Rumah
Pelamin (yang kini dikenali dengan Muzium DiRaja)
|
Bangunan ini yang berasal dari "Istana Kota Setar" merupakan
sebuah bangunan kayu yang dibina oleh Sultan Muhammad Jiwa Zainal
Adilin Muazzam Shah, Sultan Kedah ke-19 (1710-1778) iaitu pengasas
Bandar Alor Star dalam tahun 1735. Bangunan ini pernah mengalami
kerosakan beberapa kali akibat serangan Tentera Bugis (1770) dan
Tentera Siam (1821).
Bangunan batunya telah disiapkan pada zaman Sultan Ahmad Tajuddin
Mukarram Shah (1854-1879). Baginda pernah bersemayam di istana ini
bersama permaisurinya Wan Hajar Wan Ismail atau dikenali dengan
panggilan "Mak Wan Besar". Kerana itu, istana ini juga
terkenal dengan nama "Istana Mak Wan Besar".
YTM Tunku Abdul Rahman Putra juga telah diputerakan bersebelahan
dengan istana ini (Bangunan Pagoda, yang kini sudah tiada lagi)
pada 8 Februari 1903 dan pernah dibesarkan di istana ini sewaktu
ayahandanya Almarhum Sultan Abdul Hamid dan bondanya Mak Che Manjalara
bersemayam di sini.
Istana ini juga dikenali sebagai "Istana Pelamin" apabila
ruang istana ini diperbesarkan untuk dijadikan astaka dan bilik-bilik
tambahan apabila Sultan Abdul Hamid Halim Shah hendak melangsungkan
perkahwinan lima orang putera-puterinya. Upacara perkahwinan secara
besar-besaran ini mengambil masa tiga bulan dalam tahun 1904.
Selepas tahun 1941, istana ini pernah digunakan sebagai sekolah
dan pejabat beberapa persatuan termasuk Pejabat Pergerakan St. John
dan Pengakap. Pada 25 Julai 1983, bangunan istana ini diisytiharkan
sebagai "Muzium Diraja Kedah".
|