 |

DYMM Sultan Abdul Hamid Halim
Shah.

DYMM Sultan Abdul Hamid Halim
Shah bersama Che Manjalara.
|
Dalam tahun 1904, satu siri perkahwinan diraja
berlangsung selama 3 bulan di mana 5 orang putera dan puteri Almarhum
Yamtuan Sultan Abdul Hamid Halim Shah dinikahkan di Bandar Alor
Star.
Kerana ini merupakan kali pertama Yamtuan Sultan
Abdul Hamid mengadakan kenduri perkahwinan putera-putera baginda
sendiri, baginda menentukan supaya upacara perayaannya dibuat secara
besar-besaran. Seluruh rakyat akan dijemput dan melibatkan diri
dalam kerja-kerja menyediakan jamuan dan hiburan sepanjang 3 bulan
tersebut. Pegawai-Pegawai Daerah diberi arahan dan taklimat yang
diperlukan untuk menjayakan perayaan itu beberapa bulan sebelum
ia dimulakan.
Antara lainnya, perayaan ini memerlukan pembekal
beras yang banyak, ayam itik, lembu kerbau dan sebagainya. Walaupun
begitu, kerajaan memerlukan hanya yang terbaik sahaja untuk perayaan
ini. Kerbau-kerbau telah dibawa masuk dari Negara Thai. Daerah-daerah
telah membuat sumbangan masing-masing dengan membekalkan bahan-bahan
makanan kepada perayaan ini tetapi jauh dari mencukupi untuk menyara
perayaan ini sepenuhnya. Kepada apa yang kekurangan, Yamtuan Sultan
Abdul Hamid mengeluarkan perbelanjaan baginda sendiri.
Setiap daerah diarah mendirikan sebuah "balai"
di Bandar Alor Star. Bentuk atau stail adalah bebas mengikut kemampuan
daerah masing-masing. Balai-balai ini digunakan sebagai dewan makan.
Setiap satunya didirikan di atas padang yang berbentuk tiga persegi
di pusat bandar terletak di antara Balai Besar, dan Masjid Zahir.
Kawasan ini dikenali sebagai "Padang 'Court' " (tanah lapang di
hadapan Mahkamah). Bangunan Mahkamah itu telah menjadi Ibu Pejabat
JKR (sekarang Balai Seni Negeri) terletak dipinggir ketiga padang
tersebut, selepas Balai Besar dan Masjid.

 |

Perarakan Perkahwinan Diraja di
Jalan Raja, Alor Star ketika upacara perkahwinan Diraja Lima
Beradik pada 15 Jun 1904 yang dirayakan selama 40 malam, antara:
1.
Tunku Ibrahim dan Tunku Aishah; 2.
Tunku Zainal Rashid (Tunku Da'i) dan Tunku Nyan; 3.
Tunku Jamjam dan Tunku Abdul Hamid; 4.
Tunku Rokiah dan Tunku Muhammad Ariffin; 5.
Tunku Jura dan Syed Zahir.
|
|