Cari maklumat mykedah: 
 
   Anda di sini:

Medan Budaya

Nama ini diabadikan kepada sebuah lokasi khas yang terletak di tengah-tengah bandar Alor Star di sebuah tanah lapang atau padang setelah terbinanya sebuah bangunan moden iaitu Mahkamah Besar (High Court) dalam tahun 1893. Bangunan ini merupakan bangunan moden kerajaan Kedah terawal yang dibina di bandar Alor Star yang kini terkenal dengan nama 'Balai Seni Negeri'.

Kedudukan Padang Court amat menarik kerana ianya di kelilingi oleh beberapa bangunan lama dan moden dan penting dari sudut sejarah pembangunan bandar Alor Star. Bangunan-bangunan tersebut ialah Istana Kota Setar atau Istana Pelamin (kini dikenali sebagai Muzium DiRaja), Balai Besar, Balai Nobat, Menara Jam Besar, Masjid Negeri (Masjid Zahir), Balai Seni Negeri (dahulunya Mahkamah Besar), Bangunan Wan Muhammad Saman dan Mahkamah Tinggi. Dahulunya, Jalan Raja yang bermula dari Jambatan Sultan Abdul Halim itu bersambung melalui hadapan Bangunan Wan Muhammad Saman dan Balai Besar.

Beberapa peristiwa penting lagi bersejarah telah berlaku di Padang Court dan sekitarnya semenjak abad ke-19 lagi. Antara peristiwa-peristiwa tersebut berdasarkan kronologi tahun berlakunya peristiwa itu adalah seperti berikut :

17 Mei 1897 :
Penyerahan kembali wilayah Setul dan Perlis kepada Kedah di bawah pentadbiran Sultan Abdul Hamid Halim Shah. YTM Tunku Abdul Aziz, Raja Muda (adinda Sultan Abdul Hamid) hadir di upacara tersebut bagi pihak Sultan.

2 Jun hingga September 1904 :
Upacara perkahwinan secara besar-besaran lima orang putera Sultan Abdul Hamid Halim Shah berlangsung di Istana Kota Setar, Balai Besar, Balai Seni dan Padang Court. Padang Court dikhususkan untuk tempat jamuan seluruh rakyat dan pentas-pentas pertunjukan atau hiburan rakyat. Upacara yang berlangsung selama tiga bulan itu menelan belanja 10 juta ringgit.

18 Oktober 1943 :
Majlis penyerahan kuasa pentadbiran tentera Jepun kepada pentadbiran Siam diadakan. Almarhum Sultan Badlishah berangkat hadir dalam upacara ini.

19 Januari 1946 :
Rapat raksasa pertama diadakan yang dihadiri seramai 50 ribu orang Melayu kerana bantahan terhadap gagasan Malayan Union yang diperkenalkan oleh penjajah Inggeris.

30 Mei 1946 :
Rapat raksasa kedua atas tujuan yang sama diadakan dipengerusikan oleh Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra sempena kunjungan dua wakil kerajaan British iaitu Kolonel Ross William dan Kapten Gammans. Resolusi bantahan tersebut telah disampaikan kepada mereka.

8 Julai 1954 :
Perarakan dan perhimpunan dari Parti Perikatan UMNO dan MCA telah diadakan yang diketuai oleh Dato' Syed Omar Shahabudin kerana membantah pembahagian kerusi dalam Penyata Pilihanraya Pertama yang dirangka oleh Kerajaan Inggeris. Surat bantahan tersebut telah disampaikan oleh YTM Tunku Kassim ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah kepada Almarhum Sultan Badlishah, di hadapan Balai Besar.

31 Ogos 1957 :
Upacara menurunkan bendera penjajah 'Union Jack' kali terakhir pada jam 12 malam dan pada keesokan paginya Majlis Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu telah diadakan. DYTM Tunku Abdul Halim, Raja Muda Kedah berangkat ke upacara tersebut mewakili paduka ayahandanya yang menghadiri upacara yang sama di Stadium Merdeka bersama Raja-raja Melayu yang lain.

Sempena pertabalan Ratu Elizabeth sebagai Raja Great Britain pada tahun 1953, sebuah pentas berbumbung telah dibina di tengah-tengah Padang Court. Ianya digunakan sebagai tempat berucap bagi sesuatu majlis atau upacara penting. Semenjak tahun 1955, pentas ini juga digunakan untuk kempen-kempen pilihanraya negeri dan persekutuan.

Kini sebuah pancutan air telah didirikan di situ sempena menyambut perayaan Jubli Perak pemerintahan KDYMM Tuanku Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah pada tahun 1983. Padang Court kemudiannya dikenali sebagai Medan Budaya dan Medan Bandar.

Klik untuk fokus dekat

Persekitaran medan budaya/
padang court.

Klik untuk fokus dekat
Klik untuk fokus dekat


 










mykedah.com
dihasilkan oleh:

PERBADANAN
PERPUSTAKAAN
AWAM KEDAH
Kedah State Public
Library Corporation
Dibiayai oleh :
Demonstrator Applications Grant Scheme (DAGS) of the National IT Council (NITC) Malaysia


Disokong oleh:
Kerajaan Negeri
Kedah Darul Aman
KEPERLUAN
Shockwave Flash™ untuk memaparkan animasi dan peta. Klik

DAN Real Player untuk memaparkan klip video dan audio. Klik untuk download dan install sekarang!
Paparan terbaik dengan Microsoft Internet Explorer 5.0 dengan resolusi 800x600.

Kemaskini: 13-03-2003

 
Copyright © 2002 Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kedah. All Rights Reserved
Go!