|
Membangunkan
sumber manusia yang berpengetahuan tinggi untuk pembangunan
ekonomi jangka panjang dan persaingan global serta membentuk
masyarakat patriotik, jatidiri dan bermoral.
|
|
Pelan Tindakan Maju 2010 yang meliputi tempoh 2001-2010
dirangka bagi merealisasikan sepenuhnya wawasan Negeri Kedah Darul
Aman untuk mencapai taraf negeri maju menjelang 2010. Pelan ini
akan menentukan arah pembangunan negeri Kedah Darul Aman dalam tempoh
satu dekad akan datang. Ianya menggabungkan strategi, program dan
projek yang dirangka bagi mempercepatkan lagi pembangunan negeri
Kedah Darul Aman, menangani cabaran-cabaran baru ke arah mencapai
status negeri maju menjelang tahun 2010.
Prestasi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) per kapita
negeri Kedah Darul Aman yang masih rendah daripada purata negara,
memerlukan pertumbuhan ekonomi negeri yang tinggi dan pesat bagi
mengimbangi dengan tahap pembangunan ekonomi negeri-negeri maju
yang lain. Untuk memastikan pencapaian matlamat yang dihasratkan,
pertumbuhan KDNK negeri Kedah Darul Aman perlu tumbuh pada kadar
yang tinggi melebihi kadar purata negara. Perancangan pembangunan
yang teratur dan berkesan serta komitmen secara menyeluruh daripada
pihak kerajaan, swasta dan penduduk negeri Kedah Darul Aman, akan
melancarkan proses pembangunan dan mampu mencapai matlamat yang
disasarkan.
Dalam era globalisasi dan kemunculan ekonomi baru,
antara cabaran baru yang akan dihadapi oleh Negeri Kedah Darul Aman
pada masa akan datang adalah perkembangan ekonomi digital, globalisasi
dan cabaran untuk membangunkan ekonomi yang berasaskan pengetahuan.
Perkembangan pesat ekonomi digital dalam masa satu dekad yang lepas
telah banyak menyumbang kepada peningkatan dalam prestasi ekonomi
negara-negara maju. Bentuk ekonomi baru ini yang mengeksploitasikan
sumber pengetahuan, maklumat, teknologi baru dan inovasi telah mengubah
cara menjalankan perniagaan kepada kaedah baru yang lebih kepada
teknologi dan maklumat, yang mana dapat mengurangkan kos pengeluaran,
kepantasan operasi, kecekapan dan produktiviti negara.
Dengan berlandaskan kepada matlamat negara,
Pelan ini menyediakan landasan bagi Kerajaan Negari Kedah Darul
Aman menghadapi cabaran globalisasi dan ekonomi baru. Ianya juga
menyediakan landasan bagi Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman mencapai
objektif pertumbuhan ekonomi yang tinggi dengan matlamat utama mewujudkan
Kedah Darul Aman negeri maju menjelang 2010.
|